Himpunan Selamatkan Malaysia: Lebih 2,000 peserta berarak ke IPD Dang Wangi buat laporan

Umavathi Ramayah
September 16, 2023 14:38 MYT
Peserta perhimpunan itu turut melilit kain putih yang ditulis #Selamatkan Malaysia di kepala serta memakai selendang bercorak Jalur Gemilang. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 individu berbaju putih mula berarak dari kawasan Masjid Jamek Kampung Baru di sini sekitar 2 petang tadi bagi menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia, pada Sabtu.
Kumpulan itu berarak kira-kira dua kilometer melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kemudian ke Ibu Peiabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas solat Zohor berjemaah di Masjid Jamek Kampung Baru.
Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz ketika berucap sebelum kumpulan itu berarak berkata, antara tuntutan tersebut adalah menunjukkan bantahan ke atas keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dari 47 pertuduhan rasuah dihadapi beliau.
“Justeru hari ini, kita akan berarak ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan berhubung tiga tuntutan kita,” katanya.
Turut hadir Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard.
Peserta perhimpunan itu turut melilit kain putih yang ditulis ‘#Selamatkan Malaysia’ di kepala serta memakai selendang bercorak ‘Jalur Gemilang’.
Jumaat lalu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka tidak akan berganjak dengan keputusan untuk mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan berlangsung di ibu negara.
Ujarnya, ketetapan itu dibuat dengan mengambil kira polis telah menerima notis penganjuran perhimpunan tersebut.
#Himpunan Selamatkan Malaysia #perarakan #DNAA #Zahid Hamidi #IPD Dang Wangi
;