Hilang keyakinan kepada pemimpin, lebih 200 ahli PSB keluar parti

Astro Awani
Oktober 20, 2020 13:53 MYT
Susan (dua dari kiri) mengetuai lebih 200 bekas ahli PSB keluar parti dan mengumuman sokongan kepada PRS pimpinan Tan Sri James Jemut Masing. - Foto Astro AWANI
SIBU: Bekas Pengerusi Protem Parti Sarawak Bersatu (PSB) Ngemah, Susan Clement Ingun bersama lebih 200 ahli parti itu mengumumkan keluar dari parti itu.
Tindakan dibuat berikutan tidak lagi yakin terhadap kepemimpinan utama parti berkenaan.
Jelas Susan mereka tidak lagi bebas untuk menyuarakan idea dan menyatakan sebarang kelemahan dalam parti.
“Kami telah kehilangan kepercayaan terhadap kepemimpinan parti PSB kerana kegagalan mereka untuk menyumbang bukan hanya untuk pembangunan rakyat tetapi untuk kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu majlis khas di sini, pada Isnin.
Majlis disaksikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Jemut Masing.
Jelasnya lagi mereka kini memilih untuk bersama PRS dan menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
"Kami mahukan yang terbaik buat rakyat di N49 Ngemah.
"Kami percaya kepimpinan di bawah Ketua Menteri Abang Johari dan kami mahu menyokong beliau," ujarnya.
Jelasnya lagi, Abang Johari dilihat lebih ikhlas dan komited membawa pembangunan kepada rakyat di negeri ini.
#Sarawak #PRS #PSB #James Jemut Masing #rakyat #Ketua Menteri #Abang Johari #Susan Clement Ingun #Ngemah #Sibu #GPS
;