'Hidupkan perang saraf, psikologi untuk tawan semula Selangor' - Ahmad Zahid
Harits Asyraf Hasnan
Mac 20, 2016 21:46 MYT
Mac 20, 2016 21:46 MYT
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu tiga sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri memperkukuhkan semula parti itu dalam usaha merampas semula Selangor dari pembangkang.
Justeru, Ahmad Zahid mahu setiap pemimpin UMNO di semua peringkat untuk memberikan lebih perhatian kepada akar umbi.
"Perang saraf dan perang psikologi harus dihidupkan semula oleh kita. Janganlah bertahan, tetapi kita hendaklah menyerang. Musuh-musuh politik kita dari luar telah melemahkan kita.
"Kita kalah (Pilihan Raya Umum ke-13) di Selangor dulu bukan sebab mereka (pembangkang) kuat, tetapi kita yang lemah," katanya ketika menyampaikan ucapan Perasmian Serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Seluruh Negeri Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, di sini hari ini.
Ahmad Zahid pada masa sama mengingatkan ahli UMNO supaya tidak berbelah bahagi memberi ketaatan dan kesetiaan kepada kepemimpinan parti.
"Cintailah UMNO sepenuh jiwa raga agar parti dapat terus didukung dan bergerak bersama-sama memberi semangat kepada kepemimpinan.
"Prinsip saya dan Hishammuddin (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) akan bantu Perdana Menteri dan Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Razak). Kami mahu kepimpinan parti diperkukuhkan walau apapun terjadi kami tetap bersama-sama UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Justeru, beliau mahu setiap pemimpin UMNO di semua peringkat untuk menggembleng tenaga bagi memastikan UMNO dan BN dapat menawan semula Selangor pada pilihan raya akan datang.
#Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
#pemuda
#Perang saraf dan perang psikologi
#Puteri
#wanita