HerLead, platform DAP pilih calon wanita untuk PRU-16

Bernama
Jun 23, 2024 22:27 MYT
Loke (tengah) bersama para peserta dan penerima sijil penyertaan pada Program Penutup Pendidikan Kepimpinan Politik Herlead Wanita DAP hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Program HerLead iaitu program pendidikan kepimpinan anjuran Wanita DAP akan menjadi platform bagi memilih calon wanita parti itu bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke.
Menteri Pengangkutan itu berkata melalui program HerLead, ahli-ahli wanita DAP dari pelbagai peringkat usia diberikan pendedahan kepada latihan kepimpinan dan seterusnya berpotensi diangkat sebagai pemimpin dalam parti.
"Bukannya automatik dia melalui kursus ini terus jadi calon (PRU). Tidak, tetapi yang berlaku ialah bila ahli-ahli yang telah ada pendedahan ini (latihan kepimpinan), kita tahulah ada satu kumpulan yang boleh kita pilih (sebagai calon PRU).
"Ini trend dalam semua parti politik sekarang dan DAP memang amat mengambil serius. Kita nak calon yang pertamanya boleh menang, iaitu dia ada kekuatan akademik, pengalaman, ada rekod khidmat masyarakat dan ada daya kepimpinan. Ini yang penting," katanya kepada media ketika ditemui selepas Majlis Penutup Program HerLead Pendidikan Kepimpinan Politik Anjuran Wanita DAP di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching.
Loke berkata program HerLead adalah program permulaan untuk DAP mencungkil bakat dalaman dan juga kesinambungan kepimpinan parti untuk melatih lebih ramai calon muda terutama dalam kalangan wanita.
"Penyertaan wanita dalam politik memang rendah dan DAP adalah parti yang sangat ke hadapan untuk memastikan lebih ramai wanita terlibat dalam politik. Ini antara usaha amat baik telah dimulakan oleh wanita DAP untuk melihat wanita-wanita yang berminat dalam kepimpinan dan kita memberikan peluang kepada mereka untuk dilatih.
"Apabila mereka mendapat pendedahan mencukupi, kalau ada peluang sudah tentu kita akan memberikan peluang kepada mereka untuk ditampilkan sebagai calon (PRU) pada masa hadapan," katanya.
Menurutnya, untuk kumpulan pertama program HerLead, sebanyak 32 wanita semuda usia 17 tahun telah dipilih menyertai program berkenaan yang diadakan selama dua hari menyaksikan peserta didedahkan kepada kepimpinan, dasar parti, pengucapan awam dan sebagainya.
Beliau berkata peserta terbaik akan dipilih untuk ditawarkan latihan amali bersama pemimpin-pemimpin DAP atau berkhidmat di pusat-pusat khidmat parti itu.
-- BERNAMA
#HerLead #DAP #pengucapan awam #dasar parti
;