Hentikan tohmahan UMNO Kuala Kangsar berpecah - Kamil Shafie

Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan
Jun 16, 2016 14:36 MYT
Tohmahan yang dibuat sesetengah pihak itu hanyalah dakwaan peribadi yang tidak senang melihat kebersatuan UMNO Bahagian Kuala Kangsar. - Gambar fail
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Mohamad Kamil Shafie menafikan dakwaan kononnya berlaku perpecahan di dalam UMNO bahagian tersebut.
Malah, tegasnya isu perpecahan di dalam UMNO Bahagian Kuala Kangsar tidak pernah wujud sejak pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon BN.
"Alhamdulillah, buat masa ini, UMNO Bahagian Kuala Kangsar bersatu menunjukkan solidariti mereka untuk bekerja keras dalam menentukan kemenangan calon Barisan Nasional.
"Pada saya tidak timbul langsung perpecahan dalam UMNO Bahagian kerana setiap kali perjumpaan yang kami adakan maka mereka akan menunjukkan sokongan yang kuat dan di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kita ada pun, bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon BN," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari yang dikatakan terkilan selepas ada desas-desus mengatakannya tidak membantu kempen BN kerana tidak terpilih menjadi calon.
Kamil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong berkata tohmahan yang dibuat sesetengah pihak itu hanyalah dakwaan peribadi yang tidak senang melihat kebersatuan UMNO bahagian Kuala Kangsar.
"Cuma ada daripada luar yang mengatakan ada perpecahan, itu mereka secara peribadi yang mereka tidak tidak senang melihat kita bersatu, bekerja untuk memastikan kita menang.
"Memang dalam politik ini ada sedikit sana sini sana sini. Itu perkara biasa, tetapi dapat diselesaikan dengan baik," katanya.
Justeru, beliau menasihati individu yang terus menerus mengeluarkan tohmahan supaya menghentikan dakwaan tersebut.
"Saya rasa mereka yang keluarkan tuduhan tidak tentu hala ini adalah merupakan satu tindakan yang tidak baik. Saya rasa kita hentikanlah sikap yang sedemikian," ujarnya.
#Mohamad Kamil Shafie menafikan dakwaan kononnya berlaku perpecahan di dalam UMNO #PDM #Pemangku Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar
;