Hentikan spekulasi tukar MB - Azmin
Irwan Muhammad Zain
Julai 8, 2014 15:24 MYT
Julai 8, 2014 15:24 MYT
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Selangor (BBC Selangor), Mohamed Azmin Ali menasihatkan semua pihak agar menghentikan spekulasi pertukaran menteri besar Selangor.
Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa menyarankan agar tumpuan lebih diberikan kepada kerja-kerja membangunkan negeri Selangor.
"Saya nasihatkan hentikan semua spekulasi, kita mengajak pimpinan dan anggota parti untuk tumpu kerja membangunkan negeri Selangor.
"Di bulan Ramadan yang mulia ini jangan kita lontarkan fitnah, jangan buat serangan peribadi dan kita kerja sebagai satu pasukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat BBC Selangor di pejabat SUK Selangor, hari ini.
Katanya, isu pertukaran menteri besar akan dibincangkan secara kolektif, namun buat masa ini kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor mengambil pendirian untuk menumpukan kepada kerja-kerja pembangunan negeri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berkenaan desakan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PKR 15 Januari lalu supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai menteri besar Selangor.
Selepas mesyuarat tersebut, PKR dikatakan mengatur strategi untuk menggantikan Abdul Khalid melalui pilihan raya kecil DUN Kajang yang dinamakan “Kajang Move“.
“Pendirian kita jangan teruskan spekulasi, jangan buat fitnah, tumpu kerja untuk membangunkan negeri Selangor dan ini yang kita bincangkan dalam mesyuarat hari ini, kita bincang isu-isu yang memberikan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Pilihan Raya Kecil sudah selesai, keputusan telah dibuat dan sekarang masa untuk kerja…bila ada keperluan untuk membincangkan perkara (pertukaran MB) itu kita akan bincang secara kolektif,” jelasnya lagi.
Isu pertukaran menteri besar Selangor kembali hangat selepas terdapat desakan terbuka daripada beberapa pemimpin PKR antaranya ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan calon ketua AMK, Amiruddin Shari.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mengakui bahawa timbul kebimbangan mengenai pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang diketuai Khalid.