Hentikan polemik pelantikan Kabinet - Annuar Musa

Astro Awani
Mac 15, 2020 17:58 MYT
Annuar Musa ajak Ahli Parlimen BN tumpu usaha membela rakyat, serta memberikan sokongan dan dukungan kepada perdana menteri dan kerajaan untuk kita tangani bersama COVID-19 dan kesempitan ekonomi, - Gambar fail
Anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyeru pemimpin Barisan Nasional (BN) menghentikan polemik tentang pelantikan jawatan dalam Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi akaun Twitter peribadinya, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh mengajak semua pemimpin dari partinya agar memberi tumpuan dan sokongan dalam usaha kerajaan menangani penularan wabak COVID-19.
“Cukuplah dengan polemik pelantikan Kabinet oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
“Pemimpin BN diminta tumpu kepada usaha membela rakyat, serta memberikan sokongan dan dukungan kepada Perdana Menteri dan kerajaan untuk kita tangani bersama COVID-19, kesempitan ekonomi, keharmonian rakyat demi negara yang sejahtera,” kata Annuar yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dalam kerajaan baharu ini.

Saya berpendapat cukuplah dgn polimik Perlantikan kabinet oleh YAB PM.Pemimpin BN Di minta tumpu kpd usaha membela rakyat,serta memberikan sokongan dan dokongan kpd YAB PM dan kjaan utk kita tangani bersama corvid-19,kesempitan ekonomi,keharmonian rakyat demi negara yg Sejahtera

— Annuar Musa (@AnnuarMusa) March 15, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Isu pembahagian jawatan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibangkitkan oleh beberapa pemimpin UMNO antaranya Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Hassan yang menganggap pelantikan jemaah menteri sebagai tidak adil.
Mohamad berpendapat, UMNO selaku blok Ahli Parlimen terbesar diketepikan secara tidak adil.
Menurut Mohamad, terdapat pelbagai desas-desus berhubung pelantikan Kabinet dari ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri sehinggalah kepada dakwaan bahawa komposisi Kabinet adalah berat sebelah.
BACA: Pelantikan Kabinet tidak adil - Mohamad Hasan
Sementara Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berpandangan BN wajar mendapat agihan kerusi lebih adil dalam Kabinet PN.
Khaled berpendapat, UMNO merupakan pendiri bersama kerajaan PN dan bukan menumpang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Jelas beliau, sejak awal lagi UMNO dan Pas menuntut agar Parlimen segera dibubarkan untuk memberi laluan kepada satu pilihan raya.
BACA: UMNO wajar dapat agihan kerusi yang lebih adil - Khaled Nordin
Sementara itu, Ahli Parlimen Penggerang Datuk Seri Azalina Othman Said secara terbuka menegaskan, komposisi dalam Kabinet tidak sepatutnya didominasi oleh satu parti sahaja.
#Annuar Musa #Barisan Nasional #Bersatu #COVID-19 #Kementerian Wilayah Persekutuan #Menteri Wilayah Persekutuan #MT #PAS #Perikatan Nasional #UMNO
;