GUA MUSANG: Kalangan masyarakat peneroka di Rancangan Tanah Felda, Kelantan mahu pemimpin parti politik bersatu dan hentikan pertelagahan apabila Malaysia dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan hari ini.

Menjadi harapan mereka, negara mendapat barisan kepimpinan yang kuat dan ikhlas serta jujur membuat rancangan membantu kehidupan rakyat yang semakin tertekan kerana COVID-19.

Tinjauan di Gua Musang mendapati, kebanyakan peneroka sudah bosan dengan krisis politik yang berlarutan di negara ini sehingga menjejaskan kebajikan rakyat.

Mereka berharap kerajaan baharu ini dapat memberikan tumpuan penuh kepada masalah ekonomi dan pandemik COVID-19 agar kehidupan rakyat lebih terjamin.

Bagi Zaidi Mohd Noor, dia berharap semua parti politik akan bersatu serta mempunyai satu matlamat berteraskan COVID-19.

"Kita kembali ke pangkat jalan dan bersatu supaya kita semua mempunyai satu matlamat berteraskan COVID-19.

"Minta selepas ini ekonomi negara juga akan kembali seperti biasa. Saya harap Perdana Menteri baharu ini akan menjaga rakyat dan ekonomi negara," katanya.

Hasrat yang sama disuarakan Surayani Azmi yang berharap ahli politik bekerjasama antara satu sama lain demi kebaikan rakyat.

"Saya berharap kerajaan baharu ini akan beri tumpuan lebih kepada masalah kesihatan COVID-19 ini kerana ketika ini ia semakin kritikal.

"Jangan bertengkar, saya harap biarlah mereka semua dapat bekerjasama," katanya.

Terdapat seramai 3,112 peneroka di 11 Rancangan Tanah Felda seluruh negeri Kelantan.