Henti segera 'curi', 'beli' ahli UMNO jika mahu terus bekerjasama - Asyraf Wajdi
Fauzi Suhaimi
Januari 2, 2021 11:40 MYT
Januari 2, 2021 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar menghentikan segera sebarang usaha untuk bersaing ahli di antara satu sama lain jika mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan itu tidak dapat memberi jaminan kerjasama kedua parti berkenaan akan kekal sekiranya perkara sedemikian masih berlaku.
"Ketika suasana hubungan UMNO-Bersatu di akar umbi semakin panas dan getir lantaran perebutan dan ‘kecurian’ ahli yang semakin menjadi-jadi, Setiausaha Agong Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak wajar menambah lagi minyak ke dalam api yang sedang membara.
"Sejak beberapa bulan ini, banyak sekali aduan dan keresahan dalam kalangan ahli dan pimpinan UMNO akar umbi seluruh negara yang mendakwa Bersatu galak 'mencuri' dan 'membeli' ahli UMNO.
"Ada yang mengaku bahawa setiap yang menyertai Bersatu dibayar sehingga RM100, setiap cawangan yang ditubuh diperuntukkan RM3,000 hingga RM5,000," dakwa Asyraf dalam kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Asyraf berkata kenyataan pimpinan tertinggi Bersatu adalah tidak wajar, malah mempertahankan kemasukan ahli UMNO ke dalam Bersatu atas dasar ‘keterbukaan’ di bawah satu bumbung PN hanya akan menyebabkan hubungan kedua-dua parti itu makin meruncing dan membarah.
"Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat Bersatu ditubuhkan dan gabungan besar PN diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan UMNO.
"Seharusnya dalam suasana permuafakatan kerajaan yang terbentuk, dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari titik-titik persefahaman dan merungkai segala bentuk perbezaan termasuk menghentikan sebarang usaha melemahkan antara satu sama lain demi agenda penyatuan lebih besar," katanya.
#Henti curi ahli UMNO
#kerjasama dalam kerajaan
#hubungan UMNO-Bersatu
#Asyraf Wajdi Dusuki
#Hamzah Zainuddin