Henti menyerang sesama sendiri - Kit Siang

Astro Awani
Disember 22, 2018 19:40 MYT
KIT SIANG: Amalan tersebut boleh membawa kepada kepada persepsi negatif dan akibat yang buruk kepada Pakatan Harapan. - Gambar fail/Astro AWANI
Penasihat DAP Lim Kit Siang menyeru semua pemimpin Pakatan Harapan supaya tidak membuat sebarang kritikan mahupun serangan terhadap pemimpin lain dalam gabungan itu tanpa berbincang terlebih dahulu dengan parti masing-masing.
Katanya, amalan tersebut boleh membawa kepada persepsi negatif dan akibat yang buruk kepada Pakatan Harapan.
Justeru, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mencadangkan supaya perbuatan itu dihentikan dan diwujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) bagi menyuarakan kritikan ataupun ketidakpuasan hati sesama mereka.
"Walaupun tiada siapa yang mahu sekatan ke atas kebebasan bersuara, yang merupakan salah satu prasyarat untuk Malaysia menjadi sebuah masyarakat demokratik, adalah juga penting untuk memastikan perpaduan serta matlamat Pakatan Harapan tidak dicemari atau dimusnahkan oleh ucapan dan ungkapan yang tidak terkawal," katanya dalam satu kenyataan menerusi blognya, hari ini.
Tambahnya, sekiranya SOP yang dicadangkan itu tidak berkesan, Majlis Presiden Pakatan Harapan perlu mencari mekanisme yang lebih baik supaya matlamat gabungan untuk membina sebuah Malaysia Baharu tidak terjejas.
Terdahulu, Ketua Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff memberi amaran bahawa perjanjian dalam PH boleh terjejas jika pertikaman lidah antara pemimpin dalam pakatan masih berterusan.
BACA: Saya bersedia untuk diambil tindakan. Saya tidak akan minta maaf - Syed Saddiq
BACA: Pesanan Rafizi Ramli kepada PH
BACA: 'Rafizi memang tahu meramal masa depan' - Tun Mahathir
Menerusi kenyataan di Twitternya, beliau berkata sudah tiba masanya untuk pemimpin PH mengenepikan ego masing-masing dan memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.
"Sudah tiba masanya untuk semua ahli politik PH memasuki 'zon bebas ego' dan memberi tumpuan kepada apa yang diperlukan oleh rakyat berbanding diri sendiri atau kumpulan tertentu," katanya.
#Bersatu #DAP #Lim Kit Siang #Pakatan Harapan #Penasihat DAP #prosedur operasi standard #Rais Hussin Mohamed Ariff #SOP
;