Hawa bertekad jadi penghubung suara masyarakat awam dan profesional - Shahrizat

Astro Awani
Jun 8, 2023 18:01 MYT
Shahrizat menjelaskan, halatuju Hawa akan ditentu ukur berdasarkan realiti kehidupan rakyat dan maklumbalas sebenar dari pelbagai pihak. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, UMNO Malaysia (Hawa) yang baru ditubuhkan Mac lalu, bertekad untuk menjadi penghubung yang menyatukan suara masyarakat awam dan para pakar rujuk dari bidang profesional dan akademik untuk melandaskan arah tujunya.
Pengerusi Hawa, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil menjelaskan, ia merupakan satu kerjasama pintar yang melangkaui sempadan politik kepartian.
Beliau juga menjelaskan, halatuju Hawa akan ditentu ukur berdasarkan realiti kehidupan rakyat dan maklum balas sebenar dari pelbagai pihak.
"Inilah politik masa depan yang Hawa ingin ketengahkan. Ketika ini, kita sedar UMNO berada di tempat dan keadaan yang amat berbeza dari dahulu.
"Perubahan yang berlaku dalam politik negara menuntut UMNO untuk juga berubah. Cara kita berjuang dan membela nasib rakyat serta menentukan negara membangun mesti berubah jika UMNO mahu kekal relevan," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan itu juga, Shahrizat menjelaskan, bagi mendakap perubahan ia memerlukan keberanian untuk bertindak dengan cara baharu dan berganjak dari keselesaan terdahulu.
Pada 23 Mac lalu, ketika mesyuarat pertama Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang pertama pasca Pemilihan UMNO 2023, presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan Hawa.
Ahmad Zahid juga mengumumkan pelantikan Shahrizat yang tewas pada pemilihan Ketua Wanita UMNO sebagai anggota MKT yang dilantik seterusnya sebagai pengerusi Hawa.
Hawa telah diamanahkan untuk memberi perhatian terhadap cabaran serta isu yang menjadi kepentingan kepada Wanita dan Keluarga.
#UMNO #Hawa #Shahrizat Abdul Jalil #Zahid Hamidi
;