Hati-hati dengan bom fitnah - Ahmad Zahid
Shahrul Hassan
April 13, 2018 19:44 MYT
April 13, 2018 19:44 MYT
Rakyat di negara ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan bom fitnah yang akan disebarkan pembangkang sebagai serangan saat akhir seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jentera Barisan Nasional (BN) juga diminta untuk bersiap sedia sebagai perisai untuk menghadapi sebarang bom fitnah menjelang hari mengundi pada 9 Mei.
Namun, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, BN mempunyai strategi tersendiri untuk mengekang penularan bom fitnah itu.
"Akan ada kejutan saat akhir. Ertinya akan ada penghantaran bom (fitnah) di saat akhir sebelum pilihan raya.
"Saya pasti tetapu mereka menunggu saat untuk melemparkan bom itu bagi membolehkan rakyat percaya," katanya ketika berucap pada Majlis Muafakat Pemimpin Bersama Rakyat di Batu 3, Jalan Mersing Kluang.
Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, rakyat perlu berhati-hati terhadap fitnah kitar semula dan fitnah baharu yang bertujuan menanam kebencian terhadap calon-calon BN.
"Saya memohon rakyat tidak lagi terjebak dengan berita tidak benar yang dikitar semula atau baharu yang akan disebarkan pembangkang bagi menanam kebencian sekali gus menimbulkan rasa kegusaran rakyat BN," katanya.
#Barisan Nasional
#berita tidak benar
#bom
#fitnah
#isu semasa
#Kluang
#Malaysia Memilih
#Mersing
#Naib Presiden UMNO
#pembangkang
#Zahid Hamidi