Hasmuni Hassan tawar diri jawatan Ketua Pemuda UMNO

Rahimah Abdullah
Februari 10, 2023 17:30 MYT
Setiausaha Pemuda UMNO, Hasmuni Hassan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Mac depan. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Setiausaha Pemuda UMNO, Hasmuni Hassan menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Mac depan.
Dalam masa sama, beliau mahu memastikan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-16 dan menarik kembali sokongan anak muda kepada UMNO.
"Saya ingin menawarkan diri bagi bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal akan datang.
"Selepas menang PRU16, kita akan rangka strategi untuk memastikan anak muda kembali kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN)," katanya dalam sidang media di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.
Pada sidang media itu, beliau turut memperkenalkan pasukannya yang turut menawarkan diri bertanding atau dilantik pada pemilihan parti nanti.
Mereka ialah Hairi Mad Shah bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh bagi jawatan Setiausaha Pemuda UMNO, Mohd Naim Mokhtar bagi Bendahari Pemuda UMNO dan Mohd Sollehin mohamad Tajie bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO.
"Saya menampilkan calon-calon berumur 40 tahun ke bawah termasuk exco yang akan menawarkan diri nanti," ujarnya.
Justeru, beliau dengan rendah diri ingin memohon sokongan dari semua perwakilan pemuda di seluruh negara.
Hasmuni menjadi individu kedua yang mengumumkan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang membuat pengumuman sama bulan lalu.
Pemilihan UMNO diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac depan, dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan berlangsung pada 1 hingga 26 Februari ini.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.
#Hasmuni Hassan #Pemuda UMNO #Pemilihan UMNO #tawar diri bertanding
;