Hasil bedah siasat PRN dibincang secara dalaman - Pemuda UMNO
Sinar Harian
Ogos 18, 2023 15:01 MYT
Ogos 18, 2023 15:01 MYT
SHAH ALAM: Hasil dapatan ‘bedah siasat’ pilihan raya negeri (PRN) ke-15 akan dibincangkan secara dalaman dengan pucuk pimpinan terlebih dahulu, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Jelas beliau, segala keluhan dan pandangan amat penting untuk parti itu memperbaiki kesilapan dan terus bergerak.
“Terima kasih pemuda UMNO dari seluruh Malaysia. Kita berada di sini atas dasar kasih sayang dan mahu melihat UMNO menjadi lebih baik.
“UMNO ini milik kita semua,” katanya bagi menjawab pertanyaan seorang netizen yang meminta intipati dan hasil perjumpaan tersebut.di Facebook pada Jumaat.
Muhamad Akmal sebelum ini memanggil Pemuda UMNO seluruh negara untuk hadir dalam perjumpaan tersebut pada Khamis bagi mencari punca kekalahan dan jalan penyelesaian bagi mengembalikan zaman kegemilangan UMNO yang dahulu.
Tangkap layar hantaran oleh Muhamad Akmal Saleh di Facebook pada Jumaat.
Fasa pertama perjumpaan 'Di Mana Salah Kita' di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (YPBA), Kuala Lumpur itu melibatkan pimpinan G5 setiap bahagian sebelum beberapa siri jelajah negeri agar sesi ‘bedah siasat’ tersebut lebih terfokus dan melibatkan ramai ahli akar umbi.
Sementara itu Akmal menepis tohmahan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh beliau berkompot dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan menularkan foto lama perjumpaan kedua-dua pemimpin tersebut.
“Ada juga menyatakan bahawa saya dicop sebagai budak Hisham dan sebagainya. Suka saya ingin menjelaskan, gambar yang ditularkan ini ialah perjumpaan saya dengan beliau pada 25 September 2019.
“Ketika UMNO masih lagi pembangkang dan kerajaan ketika itu ialah Pakatan Harapan (PH) dan saya hanyalah sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin.
“Dan ketika beliau (Hishammuddin) juga masih lagi ahli UMNO,” jelasnya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian