Harus lantik PM baharu secepat mungkin - Penganalisis
Eton Khir
Ogos 16, 2021 20:42 MYT
Ogos 16, 2021 20:42 MYT
Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri 'Caretaker' seakan dejavu buat rakyat Malaysia apabila sejarah Mac 2020 berulang kembali.
Menurut Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian, tumbangnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) disebabkan wujud percanggahan dalaman terutamanya berhubung agenda rakyat.
Jelasnya, konteks penjajaran baharu seharusnya dipraktikkan dalam melantik Perdana Menteri bagi menangani fasa polemik politik yang melanda negara ketika ini.
"Dalam konteks ini, penjajaran baharu seharusnya melihat kepada bagaimana tidak ada individu yang mengambil kesempatan untuk naik sebagai Perdana Menteri dan akhirnya selepas dilantik nanti mula angkuh atau menolak kepentingan yang telah ditonjolkan ketika mahu bermusyawarah.
Politik | PM letak jawatan - Penganalisis
"Jadi, langkah kali ini, saya rasa pasti berbeza dengan langkah Mac 2020 kerana banyak yang sudah dipelajari sepanjang Mac 2020 sampailah Ogos 2021", katanya program Buletin Khas Astro AWANI, di sini pada Isnin.
Sivamurugan turut berkata, apabila sesuatu tawaran itu diusulkan ia seharusnya bertujuan untuk meningkatkan taraf dan keupayaan berdampingan dengan rakyat dan bukannya kepentingan parti politik.
Tambahnya lagi, jika keadaan yang sama berulang kembali bermakna ia seolah-seolah kemelut atau krisis ini akan terus berpanjangan dan tidak berkesudahan.
"Barangkali ketika ini, yang harus difikirkan adalah krisis nasional dan sesiapa yang dilantik sebagai Perdana Menteri itu harus menggalas tanggungjawab Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19.
"Kita memerlukan bagaimanakah perancangan Pelan Pemulihan Negara dapat disegerakan, bagaimanakah vaksinasi tidak dihentikan, bagaimanakah proses sektor kesihatan tidak tergugat daripada krisis politik.
"Kita harus melihat pelantikan seorang Perdana Menteri secepat mungkin, kalau boleh dalam hari Rabu atau selewatnya hari Jumaat," katanya.
Pelantikan Perdana Menteri Malaysia ini harus dilakukan segera kerana khuatir ianya akan menjadi proses tawar menawar melangkaui kepentingan kenegaraan dan apa yang perlu dititikberatkan adalah krisis nasional dan situasi pandemik COVID-19, tambahnya.
Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap baginda di Istana Negara pada Isnin.
Tindakan itu diambil selepas 15 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri dan kerajaan PN.
#Astro
#Astro Awani
#COVID-19
#Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#pandemik
#Pelan Pemulihan Negara
#Perdana Menteri
#rakyat Malaysia
#Sains