Hari pengundian pada hari bekerja perkara biasa - Idris Haron

Astro Awani
April 10, 2018 18:28 MYT
SPR telah menyusun gerak kerja yang cukup teratur sekali gus memberi peluang berkempun yang mencukupi dan efektif untuk barisan calon yang bakal bertanding. - Foto fail Bernama
Penetapan tarikh hari pengundian pada hari bekerja merupakan satu proses biasa di mana-mana negara di seluruh dunia.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, tempoh masa yang cukup sebelum penamaan calon manakala 12 hari waktu untuk berkempen dilihat relevan dan bukannya satu yang luar biasa berbanding pilihan raya umum sebelum ini.
Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyusun gerak kerja yang cukup teratur sekali gus memberi peluang berkempun yang mencukupi dan efektif untuk barisan calon yang bakal bertanding.
“Saya nampak SPR memang teratur dari segi gerak kerja dan kita dapatri ini masa yang cukup untuk kita tentukan calon.
“Kemudian ada tempoh 11 hari untuk memilih dan pengundi awal ada lebih lima hari. Ini perkara biasa dan saya lihat tiada kelainan pada pilihan raya umum kali ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ijtimak Murabbi peringkat negeri Melaka yang bertemakan “Pendekatan Wasatiyyah Pemacu Kesejahteraan Negara” di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh petang selasa.
Pada majlis yang dihadiri 800 hadirin itu, Idris berkata ke arah menuju sebuah penempatan (negeri) yang patuh syariat, fahaman ekstremisme yang mendorong kebencian serta kesalahan perlu ditangkis.
Sementara itu, Idris yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, BN negeri bakal melancarkan 62 agenda manifesto khusus untuk rakyat negeri ini pada 13 April ini tetapi tidak bercadang untuk mengumumkan barisan calon lebih awal.
Mengulas soal pelepasan yang bakal diberikan kepada kakitangan di negeri itu pada tarikh pilihan raya iaitu 9 Mei ini yang jatuh pada hari Rabu, Idris berkata, pihaknya merasakan perkara berkenaan bukanlah sesuatu isu besar memandangkan tempoh mengundi adalah panjang dan mencukupi iaitu pada 8 pagi hingga 5 petang.
#ayer keroh #Datuk Seri Idris Haron #hari bekerja #hari pengundian #isu semasa #Ketua Menteri Melaka #Malaysia Memilih #pilihan raya umum #SPR
;