Hari Penamaan Calon: Calon disarankan buat semakan awal
Nursyazwani Saiful Sham
November 1, 2022 11:10 MYT
November 1, 2022 11:10 MYT
KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.66 Bugaya, Sabah pada 5 November, Sabtu ini.
Setiausaha SPR, Datuk Inderda Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan menjelaskan, kertas penamaan calon boleh diserahkan bermula jam 9 pagi hingga jam 10 pagi kepada Pegawai Pengurus di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC).
Pihak yang terlibat termasuk calon pencadang dan penyokong; atau, mana-mana dua orang daripada mereka; atau mana-mana seorang daripada mereka.
"Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU Ke15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara, sebelum Hari Penamaan Calon.
"Selain itu, bakal-bakal calon juga adalah disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada Hari Penamaan Calon sebagai bukti pembayaran.
"Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan
lancar," katanya.
Bagi bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.
Jelasnya lagi, pada Hari Penamaan Calon, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC.
"Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
"Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon adalah dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan PPC yang telah ditetapkan.
"SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada Hari Penamaan Calon," ujarnya.