Hari mengundi Rabu tidak jejas peratusan keluar mengundi - Wan Ahmad

Bernama
April 13, 2018 05:13 MYT
SPR membenarkan wakil daripada setiap parti yang bertanding untuk melihat sendiri proses pengundian dari mula sampai akhir, maka dakwaan menyatakan SPR berat sebelah dan tidak telus adalah tidak benar. - Gambar hiasan
Dakwaan beberapa pihak bahawa tarikh mengundi yang jatuh pada hari bekerja boleh menjejaskan jumlah peratusan keluar mengundi adalah tidak tepat, kata bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.
Beliau berkata berdasarkan pengalamannya sebagai setiausaha SPR dan timbalan pengerusi SPR sebelum ini, jumlah peratusan mengundi pada setiap PRU yang diadakan mencatatkan peratusan pengundi keluar mengundi melebihi 70 peratus.
"Pada pendapat saya, tarikh yang ditetapkan SPR adalah sesuai kerana hari penamaan calon adalah pada 28 April dan hari mengundi ditetapkan pada 9 Mei. Maka semua calon yang bertanding mempunyai masa secukupnya untuk menjalankan kempen rasmi selama 11 hari," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu The Nation terbitan Bernama News Channel di sini, pada Jumaat.
Sebagai rakyat yang mementingkan hak mengundi, Wan Ahmad berkata pengundi hendaklah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi sementelahan pengisytiharan kerajaan bahawa 9 Mei adalah hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara.
"Tarikh hari mengundi telah dijadikan bahan politik oleh beberapa pihak kerana pada awalnya hari mengundi pada 9 Mei jatuh pada hari bekerja namun kerajaan telah isytiharkan hari itu sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara untuk memudahkan rakyat mengundi.
"Orang ramai tidak harus terpengaruh dengan kempen negatif yang dijalankan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial agar melakukan undi rosak atau tidak keluar mengundi... jangan bazirkan hak mengundi anda kerana pengundi adalah penentu kepada kepimpinan negara," katanya.
Mengenai dakwaan bahawa SPR berat sebelah, Wan Ahmad berkata tuduhan itu tidak berasas kerana pada setiap PRU, SPR tidak pernah menyekat mana-mana parti politik dan calon untuk bertanding dalam PRU asalkan mereka memenuhi syarat ditetapkan seperti tidak diisytihar muflis atau tidak mempunyai kes jenayah.
"SPR membenarkan wakil daripada setiap parti yang bertanding dalam PRU untuk melihat sendiri proses pengundian dari mula sampai akhir, maka dakwaan menyatakan SPR berat sebelah dan tidak telus adalah tidak benar sama sekali," katanya.
Menyifatkan Malaysia masih lagi berada pada tahap demokrasi yang membangun dan bukannya demokrasi yang maju atau matang, Wan Ahmad berkata masih ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui dengan jelas proses pengundian, lantas melemparkan pelbagai dakwaan negatif terhadap SPR, agensi bebas yang bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya di negara ini.
Mengenai usaha pihak tertentu termasuk syarikat penerbangan yang mengambil inisiatif menawarkan pakej penerbangan bagi memudahkan pengundi pulang mengundi, Wan Ahmad berkata ia mencerminkan kematangan berdemokrasi rakyat dan pihak berkepentingan melaksanakan tangungjawab sosial serta menyumbang dalam usaha menggalakkan pemilih berdaftar menunaikan hak mengundi.
-- BERNAMA
#70 peratus #9 Mei #berat sebelah #hak mengundi #hari bekerja #kelepasan am #MalaysiaMemilih #media sosial #peratusan mengundi #pilihan raya #PRU #PRU14 #Suruhanjaya Pilihan Raya #syarikat penerbangan #tarikh #telus #tuduhan #wakil parti #Wan Ahmad Wan Omar
;