"Hari ini PN menang di Selangor, esok Anwar akan turun dari Putrajaya" - Mohamed Azmin

Irwan Muhammad Zain
Jun 24, 2023 23:56 MYT
Mohamed Azmin mendakwa pelabur asing tidak yakin melabur di negara ini kerana prestasi Kerajaan Perpaduan yang lemah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dijatuhkan sebaik sahaja gabungan tersebut menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Mohamed Azmin menjelaskan, perkara itu berlaku kerana selepas tujuh bulan memerintah, Anwar didakwa masih gagal mentadbir negara.
"Sudah-sudahlah, sudah turun (harga) minyak atau tidak? Bila PH menang pada 2008, kemudian 2018 di peringkat persekutuan, tanya dia kenapa tak turun, dia salahkan Tun Dr Mahathir.
"Sekarang kamu sudah menjadi perdana menteri bukan satu bulan, bukan dua bulan, tetapi tujuh bulan, turun atau tidak? Maka hari ini saya umumkan, hari ini PN menang di Selangor, esok Anwar Ibrahim akan turun dari Putrajaya. Setuju?
"Bukan saya kata, itu pelabur asing yang sebut, sebab kamu bohong, minyak tak turun, bawang tak turun, ikan bawal tak turun, telur tak turun," katanya dalam Ceramah Perdana Jelajah Selangor Baharu, Kita Bangkit di Shah Alam pada Sabtu malam.
Dalam ceramah yang sama Mohamed Azmin mendakwa, pelabur asing tidak yakin melabur di negara ini kerana prestasi Kerajaan Perpaduan yang lemah.
Beliau turut menafikan kenyataan Anwar bahawa pelabur asing masih tidak datang ke negara ini kerana wujud persepsi Kerajaan Perpaduan akan dijatuhkan Ogos nanti.
"Wahai Anwar Ibrahim, ini bukan persepsi, ini benda benar, setuju atau tidak? Jangan marah pelabur, pelabur asing ada intelligence di sini, mereka ada duta-duta di sini, mereka tahu apa berlaku di Putrajaya.
"Jangan salahkan saya, jangan salahkan rakyat. Talian hayat kamu sudah hampir tiba kerana rakyat sedang marah, rakyat tidak puas kerana tujuh bulan kita beri peluang jadi perdana menteri.
"Sudah terlalu lama jadi perdana menteri tepi, kita beri peluang ke tengah, akhirnya ke belakang juga tempatnya," katanya.
Selain Mohamed Azmin, ceramah PN itu juga dihadiri Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar.
#Perikatan Nasional #Pakatan Harapan #Kerajaan Perpaduan #pelabur asing
;