Harapan Terengganu umum calon minggu ini
Sinar Harian
April 8, 2018 11:41 MYT
April 8, 2018 11:41 MYT
Pakatan Harapan (Harapan) Terengganu akan mengumumkan calon-calonnya yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada minggu ini.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pengumuman itu dijangka akan dibuat dalam tempoh empat ke lima hari lagi, setelah Pusat membuat pengesahan dan memberi kelulusan.
“Pusat ingin selaraskan semua negeri dan bila semua telah lulus, baru kita diberikan kebenaran untuk umum nama. Ia akan dibuat dalam waktu terdekat, dalam tempoh kurang seminggu.
“Di pihak Harapan Terengganu, kita sudah bersedia dan calon-calon yang kita pilih ini diyakini mampu menggugat dan memberi saingan hebat kepada parti-parti lain,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Ditanya mengenai gerak kerja kempen, beliau berkata, pihaknya telah mula bergerak ke akar umbi sejak tiga bulan lalu dengan turun padang dari rumah ke rumah secara berterusan.
Jelasnya, memandangkan Parlimen sudah dibubarkan bermula semalam dan pengenalan logo PKR untuk PRU14, mereka kini akan turun padang secara agresif dan program yang lebih tersusun akan dibuat.
“Kalau dulu program yang dibuat secara tidak rasmi tapi bermula sekarang kita kena ada program yang lebih rapi dan bergerak bersama mengikut jentera kita iaitu PKR, Amanah, Bersatu dan DAP,” katanya.
Mengulas mengenai arahan pembubaran sementara Bersatu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Raja Bahrin berkata, ia tidak banyak memberi kesan kepada jentera Harapan memandangkan mereka sudah menjangkakan keputusan itu.
Malah katanya, ia memberi suntikan semangat baharu kepada semua pihak.
“Memang sudah jangka, pelan kecemasan juga sudah ada. Perkataan Harapan pun tidak diluluskan, ini semua menunjukkan betapa takutnya BN menghadapi kita. Paling aneh, gambar Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) juga tidak dibenarkan di tempat-tempat tertentu.
"Bagi saya, tindakan ini memakan diri, malah makin ramai yang bersimpati dan beralih menyokong kita,” katanya.
#calon
#Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
#kempen
#logo
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#pelan kecemasan
#pembubaran
#PKR
#PPBM
#PRU14
#Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
#terengganu