Harapan besar rakyat DUN Slim kepada bakal wakil rakyat
Hasimi Muhamad
Ogos 15, 2020 21:29 MYT
Ogos 15, 2020 21:29 MYT
Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, meletakkan harapan besar terhadap wakil rakyat yang akan dipilih bagi menggantikan penyandangnya, Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim nanti.
Rata-rata pengundi yang ditemui berharap wakil rakyat baharu nanti adalah pemimpin yang mudah didekati.
Menurut penduduk Kg Perhentian, Irmalinda Ibrahim, 41, usaha yang pernah dilakukan oleh Allahyarham perlu diteruskan oleh wakil rakyat yang dipilih pada 29 Ogos ini.
“Wakil rakyat perlu membantu kami dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Alhamdulillah, kata orang walaupun tak banyak tetapi memang nampak sumbangan Allahyarham kepada penduduk Slim River di DUN Slim,” katanya kepada Astro AWANI, pada Sabtu.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Mohd Khusairi, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim pada 15 Julai lalu.
Sementara itu, peniaga, Mohd Zuhair Zulkefli, 27, berharap calon yang menang pada PRK itu nanti mempunyai sifat kepimpinan tinggi, bersifat merendah diri dan kerap turun padang.
“Wakil rakyat baharu perlu kerap berjumpa dengan rakyat, tanya masalah dan isu-isu di Slim River. Jangan jadi wakil bermusim yang hanya turun padang bila ada agenda sahaja.
“Lihat kemudahan yang tidak cukup di sini dan usahakan untuk atasinya. Kami berharap ada usaha untuk bangunkan dan majukan lagi Slim River,” jelasnya.
Penduduk Rumah Awam 3, Kamarudin Hamis, 67, pula berkata wakil rakyat baharu perlu menjaga kebajikan warga emas di DUN Slim.
“Saya minta selalulah dia (wakil rakyat) datang memantau warga-warga emas dan penduduk di sini,” ujarnya.