'Harap sidang Parlimen ini lengkap, bukan olok-olok' - Shahril

Astro Awani
Julai 2, 2021 21:05 MYT
Shahril menjelaskan keberanian itu penting kerana kerajaan harus berpegang kepada prinsip kepimpinan melalui teladan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu berani membuka sidang Parlimen secara penuh bagi memberi gambaran mereka telus dan jujur dalam menangani COVID-19 dan mahu menyelesaikan isu ekonomi serta kebajikan rakyat.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata keberanian itu penting kerana kerajaan harus berpegang kepada prinsip kepimpinan melalui teladan.
Beliau berharap sidang Parlimen nanti diadakan sepenuhnya, lengkap dengan segala ruang perbahasan bukan sidang secara 'olok-olok'.
"Jadi kita lihat dulu kerana kita pun nak sidang Parlimen yang sepenuhnya yang mana ada masa dan ruang untuk membahaskan perkara-perkara berkaitan Ordinan Darurat, yang berkaitan dengan isu-isu rakyat yang dititahkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataannya.
"Maknanya biarlah sidang Parlimen itu bukan sidang yang 'olok-olok' tapi yang lengkap dengan segala ruang perbahasan yang perlu," katanya kepada Astro AWANI.
Hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan jemaah menteri akan memuktamadkan tarikh persidangan Parlimen pada 7 Julai ini.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Ketua Majlis Parlimen turut memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.
#UMNO #Parlimen #Dewan Rakyat #Shahril Hamdan #Ketua Penerangan UMNO #kerajaan
;