Harap RoS tidak lengahkan pendaftaran GTA - Jeniri
Umavathi Ramayah
September 6, 2022 17:27 MYT
September 6, 2022 17:27 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun bukan sesuatu yang baharu atau mengejutkan, namun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tidak wajar melengahkan pendaftaran Gerakan Tanah Air (GTA).
Penganalisis politik yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, amalan sedemikian seharusnya dihentikan segera demi semangat demokrasi yang tulen.
"Kalau berdasarkan rekod-rekod sebelum ini, tindakan dengan sengaja melengah-lengahkan (pendaftaran) bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
"Kita lihat sekian lama, baik Barisan Nasional (BN) atau parti-parti lain, kita dapati ada suasana itu dan saya berpendapat perkara ini perlu dihentikan segera kerana kita ingin melihat demokrasi yang benar-benar diraikan di negara ini," katanya dalam temubual Buletin AWANI di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Jeniri berkata, sekiranya pendaftaran gabungan itu disegerakan, ia bakal memberi nilai tambah kepada parti pemerintah, sekali gus membaiki imej dan reputasi kerajaan
"Jika tidak, mereka (kerajaan) mungkin akan dituduh sebagai mengambil langkah untuk sengaja menghalang atau menyukarkan gabungan itu untuk mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan tentunya memberi kesan langsung kepada pemerintah," katanya.
Terdahulu, GTA menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), di Putrajaya pada Selasa.
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, dengan ini empat parti dalam gabungan GTA itu akan menggunakan satu logo yang dikenali sebagai Tanah Air pada Pilihan Raya PRU15 akan datang.
Beliau berharap RoS akan meluluskan penubuhan itu dengan segera seperti mana hak berpersatuan yang dijamin dalam Perlembagaan.
GTA, satu gagasan baharu disertai parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik dan profesional Melayu dengan empat parti tonggak iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Berjasa, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).