'Harap cadangan dengar suara anak muda bukan retorik' - Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan
Astro Awani
Ogos 24, 2021 19:39 MYT
Ogos 24, 2021 19:39 MYT
KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan untuk mendengar suara anak muda diharap bukan sekadar retorik semata-mata.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, ia perlu lebih inklusif, diversiti dan tidak mengira dari mana-mana parti.
"Visibiliti anak muda itu perlu dilihat di luar sana supaya dilihat terlibat secara langsung dalam membuat dasar dan polisi negara.
"Itu penting, kalau tidak kita akan lihat hanya segelintir sahaja kononnya Ahli Parlimen sahaja membuat dasar dan undang-undang negara. Lebih penting kita perlu melibatkan masyarakat dan anak muda.
"Kali ini jangan retorik lagi, jangan kata sedap di mulut sahaja, lahirkan lebih ramai pemimpin anak muda, beri peluang kepada mereka dan satu hari nanti mereka mampu untuk mentadbir negara," katanya semasa sidang video pada Selasa.
Dalam pada itu kata Mohamed Nizham, UMNO sendiri sudah mula memberi keutamaan kepada anak muda selepas kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lepas.
Jelasnya, ia dapat dibuktikan dari 70 sehingga 80 peratus pemilihan Ketua Bahagian parti itu merupakan daripada golongan muda.
"Saya rasa kebanyakan Ketua Bahagian merupakan yang baharu dan tidak membawa sebarang isu, tiada rekod dan melalui proses tiada darjat, pangkat, kebesaran dan kemasyuran ketika itu.
"Tetapi dalam masa sama di kalangan kami Pemuda UMNO ramai datang dari golongan profesional, teknokrat dan sebagainya," katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, kerajaan perlu mendapatkan input daripada semua golongan muda termasuk mereka yang tidak terlibat dalam politik bagi setiap perangkaan dasar yang bakal dilaksanakan.
Tegasnya, ia membolehkan kerajaan mendapat maklumat tepat dan perspektif sebenar generasi muda di negara ini terutama golongan yang mengalami tekanan.