Harap ahli baharu myPPP perkuat Barisan Nasional - Ahmad Zahid

Norsiah Mohd Ramli
November 15, 2015 09:13 MYT
Ahmad Zahid (tengah) bersama Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas (dua dari kanan) sewaktu Perhimpunan Agung Khas myPPP di PWTC hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap Parti Progresif Penduduk (PPP) yang kini berwajah baharu dan dijenamakan semula sebagai parti myPPP akan dapat menarik lebih ramai penyertaan ahli daripada pelbagai kaum serta latar belakang.
Menurutnya, sebagai salah satu daripada parti kompenan Barisan Nasional (BN), sokongan ahli-ahli baharu myPPP penting bagi menjadikan BN menjadi lebih kuat.
"Saya harapkan agar parti myPPP bukan sahaja memperkuatkan BN, malah mengukuhkan lagi kebersamaan kita sebagai sebuah bangsa Malaysia," katanya pada Majlis Perasmian Penjenamaan PPP di PWTC, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid juga berkata, setiap kepimpinan parti itu harus bergerak sebagai satu pasukan dan sentiasa turun ke peringkat akar umbi tanpa menunggu sehingga menjelang musim pilihan raya.
myPPP yang dijenamakan semula membawa maksud Peace (Aman) Progress (Kemajuan) Prosperity (Kekayaan).
Menurut Presidennya, Tan Sri M Kayveas, myPPP merupakan simbolik kepada parti itu yang dianggotai pelbagai kaum negara ini.
Turut hadir pada mahlis berkenaan ialah Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
#Ahmad Zahid Hamidi #Barisan Nasional #M Kayveas #MyPPP #Parti Progresif Penduduk #PPP