Hapus hak Melayu Islam, henti beri bonus? - Imej tular adalah palsu

Sinar Harian
Mac 30, 2019 07:47 MYT
Gambar yang tular dalam media sosial adalah palsu dan mesej itu bertujuan memfitnah menteri dan menimbulkan kerisauan orang ramai. -Foto Sinar Harian
AUTA
Hari ini tular dalam media sosial memaparkan gambar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng disertakan kenyataan yang pantas mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati ada dua gambar tersebar dan kenyataan pertama menunjukkan seolah-olah Guan Eng berkata ‘Henti beri bonus dan duit raya kepada penjawat awam’.
Kenyataan kedua pula mendakwa Guan Eng mengarahkan agar ribuan doktor Melayu Islam yang belajar di Mesir tidak diiktiraf kelayakan mereka.
Dalam gambar sama, turut tertulis perkataan ‘PH penghapusan hak Islam dan Melayu’.
FAKTA
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkenaan status pelajar perubatan dari universiti di Mesir dan menghentikan pembayaran bonus dan duit hari raya penjawat awam.
Setiausaha Akhbarnya, Lutfi Hakim berkata, gambar yang tular dalam media sosial adalah palsu dan mesej itu bertujuan memfitnah menteri dan menimbulkan kerisauan orang ramai.
Menurutnya, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkaitan hantaran yang telah ditularkan melalui media sosial melibatkan menteri kewangan itu.
“Tuduhan ini palsu, tidak berasas dan amat keterlaluan kerana cuba timbulkan sentimen perkauman dan mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
“Tindakan menyebarkan gambar itu merupakan perbuatan jenayah di bawah pelbagai undang-undang termasuklah Kanun Keseksaan (terutamanya seksyen 505, 500, 124H, 124I) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Seksyen 233).
“Diharapkan polis dapat menyiasat asal-usul gambar tersebut dan individu yang bertanggungjawab mencipta dan menyebarkan gambar dan kenyataan palsu berunsur fitnah dan berniat jahat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
#fact checker #Henti beri bonus dan duit raya #Lim Guan Eng #Menteri Kewangan #penjawat awam #PH penghapusan hak Islam dan Melayu #Semak Fakta
;