Hanya tiga daripada tujuh calon Presiden UMNO yang benar-benar layak
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 19, 2018 13:34 MYT
Jun 19, 2018 13:34 MYT
Calon-calon yang bertanding dalam Pemilihan UMNO kali ini perlu sedar bebanan dan tanggungjawab besar yang perlu digalas memandangkan rakyat telah menolak mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Malah daripada tujuh individu yang mencalonkan diri mereka dalam pemilihan kali ini bagi merebut jawatan Presiden parti itu, hanya beberapa tokoh sahaja yang dilihat layak menduduki jawatan tertinggi tersebut.
Menurut Pensyarah Kanan Bahagian Politik Dan Poilisi Awam UTM, Dr Mazlan Ali, hanya tiga daripada tujuh calon yang bertanding itu benar-benar layak dan mempunyai karisma menjadi Presiden UMNO.
“Kebanyakan yang masuk sebagai calon itu hanya untuk memeriahkan suasana pemilihan sahaja memandangkan pertandingan kini sudah terbuka. Kalau hendak diikutkan yang benar-benar berkualiti sebenarnya adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin.”
“Mereka ini lebih mampu dan layak berbanding calon lain daripada kesemua tujuh yang bertanding itu," katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI hari ini.
Perebutan jawatan Presiden kali ini adalah jumlah paling banyak dalam sejarah parti dan ia merupakan kali pertama jawatan nombor satu itu dipertandingkan sejak 1987.
Pemilihan kali ini juga menyaksikan jawatan Timbalan Presiden bakal ditandingi oleh tiga calon, Naib Presiden 9 calon, Majlis Tertinggi 121 calon, Ketua Pemuda 9 calon dan Ketua Puteri 4 calon.
#Astro
#Astro Awani
#calon
#majlis tertinggi
#pemilihan
#Pemilihan UMNO
#pemuda
#politik
#presiden
#Puteri
#rakyat
#UMNO