Hanya satu jawatan untuk Perdana Menteri, jika PH berjaya tubuh kerajaan
Astro Awani
April 21, 2018 20:49 MYT
April 21, 2018 20:49 MYT
Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutama jawatan Menteri Kewangan sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang pada pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali gus menubuhkan kerajaan.
Menerusi kenyataan bersama Majlis Pakatan Harapan berkata, kerajaan baharu PH juga akan menurunkan bilangan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada tiga orang sahaja.
"Tanggungjawab lain akan diturunkan kepada kementerian-kementerian yang bersesuaian," kata kenyataan itu menerusi cacatan di laman sosial Facebook PH di sini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.
Kenyataan itu turut menyebut, PH akan mereformasi peranan kabinet dan JPM secara keseluruhannya supaya sistem pentadbiran kabinet kolektif akan kembali diamalkan di negara ini.
"Demi rakyat dan negara, sertailah kami akan membentuk sebuah kabinet berwibawa, berpengalaman, berkelayakan dan berkemampuan agar membawa Malaysia ke satu arah yang betul serta makmur," katanya.
#isu semasa
#jawatan
#kabinet
#Malaysia Memilih
#manifesto PH
#Menteri di JPM
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri