Hanya PN layak bicara soal prinsip - Wan Saiful

Ridauddin Daud
November 29, 2022 17:00 MYT
Rakyat sudah nampak bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah rosak dan hilang hala tuju selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU), dakwa Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
KUALA LUMPUR: Rakyat sudah nampak bahawa Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah rosak dan hilang hala tuju selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU), dakwa Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga mendakwa perasuah, penyamun, kluster mahkamah dan pendendam kepada penjawat awam kini dilihat sudah berkumpul dalam satu kelompok.
Tegasnya, kelompok itu mengidamkan kuasa dan takhta sehingga prinsip dengan mudah dilempar ke tong sampah.
“Sebaliknya Perikatan Nasional (PN) berada di tempat paling baik untuk menggantikan BN sekarang ini, dan apabila kita berjaya meraih kepercayaan kaum bukan Melayu dan Melayu bandar, kita juga boleh menggantikan PH.
“Rakyat sudah nampak ketegasan kita dalam memperjuangkan prinsip. Hanya kita yang layak bercakap mengenai prinsip pada hari ini.
“PRU15 juga melambangkan kemunculan satu paksi baharu dalam politik negara yang mengambil integriti dan semangat Islami sebagai tunjangnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: PM digesa tidak ambil ahli Parlimen ada kes mahkamah sertai Kabinet - MCW
Tegas beliau, PN adalah tunjang utama kepada paksi baharu itu dan mereka perlu terjemahkannya menjadi paksi yang mencakupi rakyat berbilang kaum dan segenap lapisan umur.
“Generasi baru mahukan Malaysia yang benar-benar baru. Generasi baru mahukan saf kepimpinan politik yang mendahulukan rakyat dan berprinsip.
“Perikatan Nasional mesti menggalas amanah tersebut dan memperjuangkan sebuah Malaysia baru yang makmur dan sejahtera untuk semua tanpa mengira agama dan bangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan PN wajib bangga dengan pencapaian dalam PRU15 kerana gabungan itu bukan sahaja mencatat peningkatan kerusi sehingga penganalisis tersalah jangka malah berjaya mewujudkan gelombang kebangkitan generasi baharu.
Begitupun, beliau menegaskan PN tidak boleh berasa selesa dan mesti menerima hakikat bahawa masih ada ruang yang boleh diperbaiki.
BACA:: Anwar gagal jamin kerajaan tidak jalankan 'witch-hunt' terhadap penjawat awam - Wan Saiful
“Gabungan parti-parti dalam PN berjaya memperkukuh satu sama lain. Bersatu membawa imej dan ketrampilan kepimpinan. PAS membawa kekuatan jentera dan kelangsungan fikrah perjuangan.
“Gerakan, SUPP dan STAR membawa kekayaan budaya dan resam untuk membolehkan PN diterima semua. Saling kebergantungan ini menghasilkan satu kebersamaan yang menyeluruh dan inklusif.
“Tidak ada satu parti dalam PN yang boleh mendakwa mereka membawa lebih banyak sumbangan. Kerana rangkaian imej, jentera, dan penerimaan semuanya diperlukan serentak. Sekiranya satu tiada, maka cacat semuanya,” katanya.
#Wan Saiful Wan Jan #PRU15 #BN #PH #PN #Bersatu
;