Hanya pertemuan biasa saya dan Hajiji - Bung Moktar
Abdul Hafiz Mustadi
Mei 5, 2023 15:57 MYT
Mei 5, 2023 15:57 MYT
KOTA KINABALU: Spekulasi mengenai perdamaian di antara UMNO Sabah dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mula kedengaran selepas tersebar gambar Datuk Seri Bung Moktar Radin bersalaman dengan Datuk Seri Hajiji Noor.
Pertemuan yang berlangsung di Seri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah pada Khamis itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bung Moktar ketika dihubungi Astro AWANI bagaimanapun berkata ia bukan pertemuan politik, sebaliknya sekadar kunjungan bagi menziarahi Hajiji yang baru selesai menjalani pembedahan membuang batu karang.
Turut kelihatan di dalam gambar-gambar yang tersebar itu, Timbalan Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berserta beberapa pimpinan UMNO lain.
"Tiada apa-apa, saya dan presiden (Ahmad Zahid) hanya menziarahi Ketua Menteri yang sedang menjalani proses penyembuhan dari pembedahannya.
"Memang ada kami lawat, selepas program Majlis Aidilfitri UMNO Sabah," jelas Ketua UMNO Sabah itu.
Pertemuan ini dipercayai yang pertama di antara Bung Moktar dan Hajiji sejak krisis pentadbiran negeri Sabah yang menyaksikan UMNO Sabah menarik diri daripada kerajaan pada 6 Januari lalu.
Ahmad Zahid yang dalam lawatan kerjanya di Sabah pada Khamis berkata situasi politik di negeri berkenaan perlu distabilkan demi kepentingan rakyat.
Beliau turut mencadangkan supaya jawatan-jawatan yang ditiadakan supaya dikembalikan semula atas persefahaman di antara parti-parti politik yang mendokong kerajaan perpaduan di Sabah.