Hanya kebetulan Bajet 2023 diumum menjelang PRU15 - Mahdzir
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 8, 2022 18:31 MYT
Oktober 8, 2022 18:31 MYT
PADANG TERAP: Bajet 2023 yang dibentangkan semalam hanya secara kebetulan diumumkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Walaupun terdapat sebahagian yang mengatakan Bajet 2023 adalah sama seperti manifesto Barisan Nasional (BN), Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikannya.
"Jadi kebetulan kali ini dia datang serentak. Maknanya ada penerimaan, orang boleh terima. Sebahagian (Bajet 2023) itu memang dah ada dah.
“Sebahagian daripada yang diumumkan memang daripada manifesto dalam parti, saya ingat yang amat berhormat Perdana Menteri juga telah mengumumkan beberapa perkara yang ada sebelum ini di event dalam Perhimpunan Agung UMNO. Saya ingat ada dia ada umum juga satu dua item ada dalam bajet 2023 ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Padang Terap, hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengulas mengenai Bajet 2023 yang disifatkan sebagai manifesto Barisan Nasional (BN) bagi PRU15.
Kerajaan mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah dengan pelbagai insentif dan bantuan untuk hampir setiap lapisan masyarakat selain mempertahankan ekonomi ketika dunia berdepan kelembapan dan negara akan mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi.
Bajet 2023 menyaksikan Putrajaya memperuntukkan RM372 bilion atau RM40 bilion lebih tinggi berbanding RM332.1 bilion yang diperuntukkan tahun lalu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang dijangka menyederhana tahun hadapan.
Perbelanjaan Mengurus kerajaan termasuk gaji kakitangan awam, pembayaran hutang, subsidi, bantuan dan operasi memperkasa jentera kerajaan mencapai RM272 bilion berbanding RM233 bilion tahun ini.