Hanya ada satu perasmian Kongres AMK, jangan kelirukan akar umbi - Syed Badli

Astro Awani
November 30, 2019 11:22 MYT
Syed Badli menyeru semua pihak agar berhenti dari terus mengelirukan akar umbi dengan menggunakan nama AMK tanpa persetujuan Majlis Pimpinan AMK.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Syed Badli Shah Syed Osman mendakwa, ada pihak secara berterusan sengaja mengelirukan akar umbi dengan menyalurkan maklumat salah berkaitan Kongres Nasional AMK 2019.
Katanya, beliau memandang serius tindakan segelintir pihak itu dan menasihatkan mereka agar meninggalkan PKR sekiranya mahu meneruskan perbuatan yang dianggap "melanggar saluran rasmi parti" itu.
"Sekiranya pihak berkenaan berniat untuk berterusan melanggar saluran rasmi parti, saya mencadangkan agar mereka keluar dari parti dan menubuhkan parti baru," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiada istilah perasmian pembukaan dan perasmian penutup bagi Kongres Nasional AMK 2019 yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini di MiTC Melaka.
Yang ada, katanya, hanya satu majlis perasmian kongres pada 6 Disember, yang akan disempurnakan Pengerusi Majlis Penasihat PKR merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
"Sepertimana yang diumumkan Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan merasmikan Kongres Wanita manakala Dr Wan Azizah akan merasmikan Kongres AMK.
"Justeru itu, jika terdapat sebarang majlis selain dari yang diputuskan Mesyuarat Rasmi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), adalah dianggap sebagai bukan majlis rasmi AMK," katanya.
Syed Badli menyeru semua pihak agar berhenti dari terus mengelirukan akar umbi dengan menggunakan nama AMK tanpa persetujuan Majlis Pimpinan AMK.
Beliau turut meminta seluruh akar umbi parti terus bersatu mendukung agenda reformasi dengan menghadiri kongres rasmi seperti yang telah ditetapkan MPP.
#akar umbi #AMK #Fahmi Fadzil #keliru #keluar parti #Kongres Nasional AMK 2019 #majlis perasmian #Majlis Pimpinan #maklumat salah #Mohamed Azmin Ali #Pemuda PKR #PKR #Syed Badli Shah Syed Osman #Tubuh Parti Baru #Wan Azizah Wan Ismail
;