Hampir 1,000 berkumpul nyata sokongan terhadap Mukhriz

Bernama
Januari 20, 2016 15:42 MYT
Mukhriz dikerumuni oleh para penyokongnya yang bersemangat memberi sokongan kepadanya di pekarangan Bangunan UMNO Negeri Kedah malam ini. - Foto Bernama
Hampir 1,000 orang berkumpul di pekarangan Bangunan UMNO Negeri Kedah di sini malam ini sebagai tanda sokongan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Mereka berkumpul sejak pukul 8 malam, menunggu ketibaan Mukhriz di bangunan itu dikatakan untuk menghadiri mesyuarat UMNO Bahagian Jerlun.
Sebaik sahaja Mukhriz yang juga Ketua UMNO bahagian itu tiba kira-kira pukul 9 malam, orang ramai melaungkan kata-kata sokongan terhadapnya.
Beliau sempat melambai-lambaikan tangan kepada mereka sebelum masuk kebangunan itu.
Turut berada di perkarangan Bangunan UMNO ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Shariff.
Orang ramai berasak-asak mengerumuni Mukhriz bagi menyatakan sokongan padu kepada beliau. - Foto Bernama
Terdahulu pada sebelah petang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan hampir seluruh kepimpinan
UMNO Kedah telah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.
Ahmad Bashah membuat pengumuman itu selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan hampir kesemua ADUN dan anggota Parlimen negeri ini daripada UMNO, di sini.
Turut hadir dalam pertemuan itu ketua-ketua sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO negeri.
BACA: 'Serah kepada rakyat nilai prestasi saya' - Mukhriz
#Kedah #Menteri Besar #Mukhriz Mahathir #UMNO