Halatuju pembangkang ditentukan petang ini
Astro Awani
Disember 13, 2016 11:26 MYT
Disember 13, 2016 11:26 MYT
Halatuju gabungan pembangkang akan ditentukan dalam satu mesyuarat pemimpin Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang akan diadakan di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.
Mesyuarat empat parti itu akan menentukan sama ada PPBM akan menyertai Pakatan Harapan atau akan ada dua gabungan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Penganalisis politik berpendapat pembangkang dibawah satu logo, satu bendera dan satu manifesto seperti yang dicadangkan oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pilihan terbaik untuk pembangkang dalam PRU14 nanti.
"Idea Tun Mahathir itulah yang terbaik setakat ini kerana ia lebih menyakinkan dan lebih jelas kepada pengundi.
"Jika berlaku pertembungan tiga penjuru melibatkan Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan PAS, peluang untuk Pakatan Harapan menang tetap ada berbanding jika ada dua gabungan pembangkang," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ilham Centre, Hisomuddin Bakar kepada Astro AWANI hari ini.
Namun usaha untuk mewujudkan pembangkang dibawah satu logo seperti yang dicadangkan Dr Mahathir itu sukar dilaksanakan kerana ada kumpulan dalam PPBM dan PKR yang masih merasakan perlu untuk bersama PAS.
"Kumpulan ini merasakan mereka tidak mempunyai kekuatan untuk bertanding dalam pilihanraya jika PAS tidak bersama," katanya.
Dalam pada itu, Malaysiakini melaporkan PAS menolak tawaran yang dibuat oleh Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu merapatkan semula hubungan antara PAS dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam usaha untuk menyatukan pembangkang untuk berdepan BN pada pilihan raya umum akan datang.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya kepada media selepas ceramah mega anjuran PAS Selangor malam tadi terus menolak cadangan yang dibuat Muhyiddin itu.
"Bagi PAS, kami ada hubungan dengan PKR. Tetapi perbincangan dengan BERSATU masih berterusan," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Pemimpin nombor dua PAS itu berkata, semua parti pembangkang lain harus bersetuju dengan syarat untuk tidak bertanding di 70 kerusi PAS sebelum boleh membuat konsensus dan kerjasama.
"Ini adalah syarat wajib. Setiap kali kita bertanding (dalam pakatan pilihan raya), kami korbankan kerusi (dengan membenarkan parti lain untuk meletakkan calon). Cukup-cukuplah. Tiada kompromi (kali ini)," katanya.
Muhyiddin yang terlibat dalam rundingan panjang selama berminggu-minggu bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Tuan Ibrahim sekali lagi cuba untuk memujuk parti Islam itu agar menyertai pakatan pembangkang.
Beliau memberi amaran bahawa sejarah membuktikan bahawa PAS berisiko kalah apabila berjuang sendirian dalam pilihan raya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam kenyataannya kepada Malaysiakini pada Isnin menjelaskan mesyuarat petang ini akan memutuskan untuk menggunakan satu daripada empat pilihan dalam hal membentuk pakatan pilihan raya.
Mukhriz berkata PPBM dan Pakatan Harapan telah memberikan komitmen mereka untuk bekerjasama dalam pilihan raya umum akan datang dan membentuk kerajaan bersama-sama jika mempunyai cukup kerusi.
Bagaimanapun, bentuk sebenar kerjasama itu masih belum diputuskan.
"Kami ada beberapa pilihan, ia hanya akan diketahui opsyen mana akan dipilih (esok)," katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Antara pilihannya selain PPBM menyertai Pakatan Harapan ialah satu lagi gabungan pembangkang baharu dibentuk yang melibatkan PAS tanpa DAP dan Amanah.
Sebelum ini PAS telah menegaskan mereka tidak akan bekerjasama dengan PPBM jika parti itu memutuskan akan menyertai Pakatan Harapan yang turut disertai Amanah dan DAP.