Hala tuju cabaran utama generasi ketiga DAP
Madiha Abdullah
Mac 21, 2022 18:50 MYT
Mac 21, 2022 18:50 MYT
KUALA LUMPUR: Cabaran baharu yang dipikul Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sebenarnya lebih kepada hala tuju yang ditetapkan Anthony Loke, yang dilantik sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu dalam sesi pemilihan semalam.
Pengarah Eksekutif ILHAM Center, Hisommudin Bakar berkata, kemenangan Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Young Syefura Othman boleh dilihat sebagai petanda baik lapisan kepimpinan DAP.
"DAP masih terikat dengan communal political system yang mana pengundian berteraskan pola kaum Cina mendominasi CEC.
"Saya lihat dengan lapisan daripada kaum India dan Melayu mengisi walaupun lantikan politik itu untuk mengimbangi pelantikan terpilih dalam CEC tetapi itulah cabaran DAP, lebih kepada bagaimana hala tuju yang ditetapkan Anthony Loke yang menggepalai DAP kali ini.
"DAPSY lebih progresif dan ini petanda baik bagi lapisan kepada kepimpian DAP dalam CEC juga sinar baharu apabila barisan wanita mereka memperlihatkan muka baharu berbanding kepimpinan lelaki.
"Saya agak terkilan kerana tokoh lama seperti Tan Kok Wai dan Ronny Liu sepatut ambil langkah berundur seperti Lim Kit Siang, beri laluan kepada pimpinan progresif seperti Howard Lee yang lebih menampilkan citra muda," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI pada Isnin.
Dalam pemilihan semalam, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dipilih menerajui sayap Pemuda.
Dr Kelvin menang sebagai Ketua Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Sosialis Pemuda DAP (DAPSY) manakala Young Syefura sebagai timbalannya.
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kepimpinan baharu DAP itu tentunya mempunyai tanggungjawab berat dalam menggarap hala tuju parti serta kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
"Pertama sekali menerima gabungan bersama Perikatan Nasional (PN), DAP seolah-olah keras untuk tolak jajaran bersama PN, kedua penggunaan logo dan MoU (memorandum persefahaman) bersama kerajaan.
"Kalau akta anti lompat parti gagal dibentang di Parlimen, itu garisan pemisah kerjasama DAP dengan kerajaan, jadi ini cabaran untuk Anthony," katanya lagi.