Hajiji tidak berminat bertanding pada PRU15

Abdul Hafiz Mustadi
Oktober 13, 2022 14:39 MYT
ajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memaklumkan satu mesyuarat bersama parti komponen gabungan itu akan diadakan malam ini bagi memuktamadkan pengagihan kerusi.
TUARAN: "Saya tidak berminat (bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15),".
Demikian respon ringkas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika ditanya pemberita sama ada beliau akan bertanding pada PRU15.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memaklumkan satu mesyuarat bersama parti komponen gabungan itu akan diadakan malam ini bagi memuktamadkan pengagihan kerusi.
"Mesyuarat itu turut akan memutuskan calon GRS di Parlimen Tuaran. Kita akan membawa dalam mesyuarat pada malam ini dalam kalangan Majlis Tertinggi GRS.
"Hasil perbincangan itu akan kita bawa untuk dipersetujui dengan Barisan Nasional (BN). Bisik-bik (rundingan tidak rasmi) memang ok. Tetapi kita kena buat perkara itu rasmi," katanya.
Pada masa sama beliau turut mengulangi bahawa GRS akan terus bekerjasama dengan BN serta akan memastikan tidak ada sebarang pertembungan di antara mereka pada PRU-15.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah itu sewaktu berucap ketika merasmikan Mesyuarat Persidangan Bersatu Bahagian Tuaran 2022 berkata GRS akan meletakkan calon di Parlimen Tuaran pada PRU-15.
RS merangkumi komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Kerjasama BN dan GRS dijangka mengukuhkan lagi dua gabungan berkenaan dalam berhadapan parti pembangkang, Warisan yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Pakatan Harapan (PH) Sabah.
Dalam pilihan raya umum yang lalu, Warisan dan PH berjaya memenangi 14 kerusi manakala BN Sabah hanya memenangi 10 kerusi, sementara parti STAR pula mendapat satu kerusi Parlimen.
Ketika ini, Warisan memegang tujuh kerusi parlimen, BN (3), GRS (8), PH (5), PBM (1).
#Malaysia Memilih #PRU15 #pilihan raya umum #Hajiji Noor #GRS