Hajiji mengalirkan air mata kenang perjuangan bersama USNO

Abdul Hafiz Mustadi
Jun 25, 2023 22:33 MYT
Hajiji menceritakan pengalamannya ketika bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman sewaktu Pilihan Raya pada tahun 1990. - Astro AWANI
PENAMPANG: Suasana Majlis Perasmian Pejabat Pertubuhan Kebangsaan Bersatu Sabah (USNO) mengundang sebak dalam kalangan hadirin apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menitiskan air mata sewaktu menyampaikan ucapannya.
Beliau yang mengenang kembali perjuangan bersama parti itu pada awal penglibatannya dalam politik, menceritakan pengalamannya ketika bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman sewaktu Pilihan Raya pada tahun 1990.
Kata Hajiji, ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan USNO pada ketika itu bergelar sebagai parti pembangkang.
"(Tahun) 1990 parti USNO, saya tidak boleb lupakan jasa USNO... Sebagai penjawat awam and dipilih secara peribadi oleh Tun Mustapha dan beberapa lain yang dicalonkan oleh USNO pada masa itu.
"Saya tidak pernah menyangka akan menjadi seorang ahli politik. Saya seorang penjawat awam. Saya ambil masa dua minggu untuk bertanding di bawah USNO.
"Pada tahun 1990 bukan mudah untuk menjadi calon pembangkang pada ketika itu. Saya buat keputusan untuk bertanding di bawah USNO pada 1990.
"Cabaran cukup besar. Saya berkempen di Sulaman, Tuaran. Sebagai pembangkang amat susah, tiada sambutan. Tapi oleh kerana perjuangan USNO pada waktu itu dekat dengan Bajau Samah di Sulaman, saya menang dalam pilihan raya," ujar Hajiji sebelum mengalirkan air mata mengenang liku-liku perjuangan bersama parti tertua di Sabah itu.
Namun, dinamika arus politik di negara ini, menurut Hajiji, perlu dihadam dan disertai secara bijaksana dengan menyaksikan bukan sahaja parti itu, malah Barisan Nasional (BN), Berjaya, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang pernah memerintah turut tersungkur pada siri-siri pilihan raya yang lalu.
"Saya cakap begini untuk menyatakan politik adalah satu yang dinamik yang boleh bertukar ikut masa. Dan selepas kita mencapai kemerdekaan bagaimana politik yang bertukar kerajaan, USNO, Berjaya, PBS, BN.
"Inilah yang berlaku... Inilah politik perlu kita hadam dan perlu kita ikuti secara bijaksana," Hajiji mengulas.
Pada masa sama, menurut Hajiji, dengan tertubuhnya Wisma USNO ditambah dengan kedudukan parti itu di dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti itu kata Hajiji kini dilihat mempunyai 'fengshui' yang baik dalam arena politik Sabah.
"Dengan ada Wisma Ibu Pejabat USNO, USNO sudah berada dengan GRS... ada 'fengshui' yang bagus.
"Kalau kita bersatu, tidak perlu bersandar dengan mereka yang memerintah dengan begitu hebat sekali.
"USNO di bawah pimpinan di Tan Sri Pandikar Amin, walaupun USNO adalah parti kecil, tetapi ia boleh menjadi besar dan kuat kalau diberi sokongan yang padu kepada beliau," Hajiji menambah.
Untuk rekod, USNO memiliki keahlian lebih kurang seramai 13,000 orang pada ketika ini.
Turut, hadir sewaktu Majlis Perasmian Wisma USNO, Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Mohd Salleh Said.
#Hajiji Noor #USNO #politik #Sabah
;