Hajiji belum ambil tindakan terhadap 4 pembantu menteri BN dalam Kabinet negeri

Mirlen Axtius
Januari 14, 2023 17:55 MYT
Hajiji memerlukan sedikit masa untuk mencari langkah terbaik dalam usaha mentadbir Negeri Di Bawah Bayu itu. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor masih belum menentukan nasib empat pembantu menteri dari Barisan Nasional (BN) yang kini berada dalam barisan Kabinet negeri.
Hajiji berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk mencari langkah terbaik dalam usaha mentadbir Negeri Di Bawah Bayu itu.
Jelasnya, ia juga perlu masa untuk memikirkan tindakan seterusnya terhadap empat pembantu menteri BN yang telah memihak kepada Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berhubung pergolakan politik di Sabah baru-baru ini.
"Bagi saya ruang untuk berfikir bagaimana kita mentadbir negeri ini dengan baik dan sebagainya.
"Bagi saya, kita perlu melihat segala aspek dalam soal-soal seumpama ini. Jadi, jangan bimbang, kita akan mengambil tindakan yang sepatutnya dan yang paling utama ialah kepentingan negeri dan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-2 University College Sabah Foundation (UCSF) di Sabah International Convention Center (SICC) Kota Kinabalu pada Sabtu.
Empat Pembantu Menteri itu ialah, Mohd Tamin Zainal, Mohamad Hamsan Awang Supain, Harun Durabi dan Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy.
Ditanya apakah pihaknya sedia menerima lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah sekiranya mereka kehilangan keahlian selepas menyatakan sokongan kepada beliau, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, terlalu awal untuknya memberikan komen mengenai perkara itu.
"Itu terlalu awal saya buat komen, kerana itu adalah hal ehwal UMNO dan Barisan Nasional.
"Jadi saya tidak boleh bercakap mengenai perkara-perkara seumpama itu. Kita tunggulah macam mana," katanya.
Terdahulu lima ADUN UMNO Sabah tidak bersetuju dengan keputusan parti yang menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Lima ADUN itu ialah, Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Ir. Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Yusof Yacob (Sindumin) dan Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Bung Momtar pada Jumaat lalu bahawa krisis politik Sabah masih belum selesai, Hajiji berkata, itu adalah pendapat beliau sendiri.
#Hajiji Noor #pembantu menteri BN #Politik Sabah #Bung Moktar Radin
;