Hadi terlepas penerbangan, kata MB Kelantan

Muhafandi Muhamad
September 12, 2014 13:33 MYT
Hadi terlepas penerbangan, kata MB Kelantan
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terlepas penerbangan, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Itulah reaksi menteri besar Kelantan ketika ditanya berhubung ketidakhadiran pimpinan PAS Pusat termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamed Sabu, dan barisan Naib Presiden pada majlis pengumuman calon PAS semalam.
“Sepatutnya presiden hadir, tetapi kelewatan penerbangan pada pukul 6.30 petang ke Kota Bahru dan tidak sempat. InsyaAllah, esok ada,” ulas Ahmad Yakob.
Pada majlis pengumuman calon PAS semalam, wakil pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya diwakili oleh Naib Ketua Keadilan Kelantan, Prof Madya Shahrun Ibrahim manakala tiada wakil DAP.
Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan menjelaskan, Dr Mohd Hatta Ramli selaku ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Datuk Kamaruddin Jaafar telah mewakili pimpinan PAS Pusat.
Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Ketua Sami Buddha dan Masyarakat Siam di Wat Machimaran, Kampung Jubakar di sini petang tadi.
Turut hadir Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan calon PAS DUN Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim.
Sementara itu, Wan Rosdi Wan Ibrahim ketika ditemui menjelaskan masyarakat Siam merupakan antara pengundi bagi DUN Pengkalan Kubor.
Katanya penampilannya sebagai calon merupakan atas kehendak PAS Kelantan dan mengharapkan supaya pengundi di DUN berkenaan memberikan sokongan kepada beliau.
Menyentuh mengenai calon BN, Mat Razi Mat Ail, Wan Rosdi menjelaskan beliau tidak melihat Mat Razi sebagai guru dan mempunyai pondok memberi kelebihan kepada calon BN itu.
“Saya tidak nampak saingan yang ketara dan jauh beliau bukan ustaz. Juga saya difahamkan kalau cuti sekolah beliau dapat mengumpul kanak-kanak sekolah dalam satu program di pondok dan saya nampak beliau seorang pegawai PPD sahaja, saya tidak gentar.” ulas calon PAS tersebut.
Katanya lagi, pendekatan yang beliau akan gunakan ialah mengadakan peogram mendekatkan diri dengan rakyat.
#HADI AWANG #Pengkalan Kubor #PRK