Hadi Awang samakan anak pemimpin Pas keluar parti seperti anak Nabi Nuh

Zaim Ibrahim
April 30, 2018 15:45 MYT
Abdul Hadi Awang menyatakan kekecewaan terhadap keputusan segelintir anak bekas pemimpin PAS yang bertanding atas tiket parti lain tetapi masih beranggapan mereka seperti anak sendiri. - Astro AWANI
Keputusan Nik Omar, anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mengumumkan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Chempaka, Kelantan ternyata memberi satu tamparan hebat kepada gelanggang politik di Kelantan.
Hakikatnya, Nik Omar bukanlah individu pertama yang memilih untuk tidak bersama Pas malah beberapa anak bekas pemimpin Pas turut beralih arah seperti Dr Mujahid Yusof Rawa (anak bekas Mursyidul Am Pas Pertama, Tuan Guru Haji Yusof Rawa) dan Mohd Faiz Fadzil (anak bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor).
Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang membidas keputusan mereka malah menyamakan insiden itu seperti kisah anak Nabi Nuh yang berpaling daripada ayahnya.
“Al-Quran mengisahkan anak Nabi Nuh AS yang memperlekehkan bahtera ayahnya dan lebih yakin kepada bukit yang dapat dilihat gagah boleh menyelamatkannya daripada taufan terbesar, maka bahtera ayahnya ditinggalkan,” kata Hadi Awang seperti yang dipetik daripada Facebook rasmi beliau.
.
Tuan Guru Hadi Awang turut mendakwa Pakatan Harapan bersengkokol dengan DAP yang anti-Islam malah mereka sering mendahului pemikiran akal daripada berlandaskan Al Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.
“Apa yang menarik bahtera PH mengumpulkan kumpulan DAP yang anti Islam secara terbuka. Pemimpin utamanya pula pemikir pemutar alam yang dilihat bijaksana tanpa bijaksini, lebih memenangkan akal terhadap nas Al-Quran dan tidak yakin kepada Kitab-kitab Hadis,” kata beliau.
Pada Hari Penamaan Calon lepas, Nik Omar membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Parti Amanah Negara (Amanah) dengan tiket PKR.
BACA LAGI: Ada apa dengan Nik Omar?
Walaupun sedar keputusan itu mungkin akan mencetuskan perbalahan, Nik Omar tenang dalam menyatakan pendiriannya bagi mengekalkan kerusi DUN yang pernah disandang oleh ayahnya di negeri Serambi Mekah itu.
Ketika ditemu bual Astro AWANI, beliau menyatakan situasinya adalah sama seperti individu yang ingin ke Mekah tetapi berbeza pengangkutannya.
Menariknya, Nik Omar tidak beranggapan adiknya, Nik Mohamad Abduh, yang bertanding di Parlimen Bachok sebagai musuh malah mendoakannya yang terbaik.
BACA: 'Tembakan itu singgah tepat ke jantung bonda', kata Nik Abduh kepada kekandanya
#Abdul Hadi Awang #Barisan Nasional #Gagasan Sejahtera #Kelantan #MalaysiaMemilih #Nik Aziz #Nik Omar #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #PAS #Serambi Mekah
;