Gunakan pilihan raya untuk kempen, bukan protes - Shafie

Hasimi Muhamad
Januari 15, 2020 21:35 MYT
MOHD SHAFIE: Saya yakin pilihan raya adalah pilihran raya dan bukan tempat untuk menjalankan protes. - Foto BERNAMA
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan bantahan terhadap pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) tidak wajar berlaku.
Menurut Mohd Shafie, pilihan raya seharusnya digunakan sebagai medan untuk berkempen, dan bukan sebaliknya.
“Saya yakin pilihan raya adalah pilihran raya dan bukan tempat untuk menjalankan protes.
“Anda boleh berkempen yang penting kita gunakan ruang pilihan raya ini untuk berkempan bukan kita protes,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam sempena Tahun Baru Cina, di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, Himpunan Solidariti Rakyat Bantah Aman PSS yang dianjurkan sebuah Pertubuhan Peningkatan Pendidikan Rakyat Sabah (PIPA) dan Sorak Sabah disertai kira-kira 600 peserta.
Hadir sama perhimpunan itu termasuk calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin dan beberapa pemimpin pembangkang iaitu Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Difahamkan, setakat ini sekurang-kurangnya seorang peserta ditahan susulan tindakannya membawa parang kayu ketika perhimpunan.
Mengulas mengenai kempen yang berbaki tiga hari, Mohd Shafie berkata pihaknya akan menggunakan tempoh tersebut sebaik mungkin bagi mendekati pengundi.
“Kita sedar dan tahu bahawa PRK (Pilihan Raya Kecil) sudah berjalan hampir 15 hari dan kita mempunyai tiga hari lagi menjelang 18 Jan.
“Apa yang penting, kita harap agar seramai mungkin pengundi yang ada datang untuk turun menunaikan tanggungjawab mereka selaku pengundi di kawasan kimanis ini,” ujarnya.
PRK Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan, Datuk Karim Bujang dan BN, Mohamad.
#bantahan pelaksanaan PSS #berkempen #Mohd Shafie Apdal #Parti Warisan Sabah #Pas Sementara Sabah #pilihan raya #Presiden Warisan #PSS
;