Guna naratif 'pintu belakang' sebenarnya tuju kepada siapa? - SetPol MB Kedah

Abd Hadi Che Awang
Jun 4, 2022 11:50 MYT
Kata Afnan, jawapan sebegitu kebiasaannya dikeluarkan oleh seseorang yang tidak yakin bahawa partinya boleh menang jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat. - Astro AWANI
ALOR SETAR: Setiausaha politik kepada Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan kenyataan yang dibuat Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang disifatkan sebagai 'Menteri Besar Pintu Belakang' sebagai sesuatu yang melucukan.
Menurut beliau, muncul persoalan adakah naratif yang digunakan itu termasuk penggunaan istilah 'selesa' dan 'pintu belakang' turut ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Tambahnya, jawapan balas yang diberikan Ketua Pemuda UMNO Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan juga disifatkan telah melencong jauh.
"Mengaitkan sentimen 'selesa' apabila memberi respon terhadap jawapan Datuk Seri Muhammad Sanusi kepada soalan wartawan mengenai desakan sesetengah pihak yang mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera menggunakan sentimen 'selesa' adalah sesuatu yang melucukan.
"Berdasarkan video yang disiarkan Astro AWANI sendiri, jelas sekali Datuk Seri (Sanusi) menjawab soalan wartawan tersebut dengan pertanyaan, "boleh menangkah?
"Jika beliau yakin partinya boleh menang, maka jawab sahaja, 'ya, kami boleh menang'.
"Jawapannya mudah sahaja. Tak perlu melencong jauh nak kaitkan dengan kondisi 'selesa'," tegas Timbalan Ketua Pemuda PAS itu.
Tambah Afnan, jawapan sebegitu kebiasaannya dikeluarkan oleh seseorang yang tidak yakin bahawa partinya boleh menang jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Jelasnya, Perdana Menteri yang datang dari parti UMNO sendiri juga telah menyatakan sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk diadakan PRU15 tatkala berlaku kesempitan ekonomi, peningkatan kos sara hidup dan inflasi.
"Semua pihak sama ada kerajaan, pembangkang, atau rakyat, perlu menumpukan usaha memulihkan ekonomi dan melipatgandakan usaha bagi memenuhi keperluan rakyat.
"Bukannya berhempas pulas menyelamatkan kepentingan individu tertentu. Politik individualistik ini sudah lapuk dan menyebabkan rakyat meluat.
"Atas prinsip mengutamakan rakyat inilah maka Kerajaan Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu berpendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan tergesa-gesa sebelum cukup tempoh matang," tambah beliau.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samat menyifatkan kenyataan Pemuda UMNO Alor Setar itu ibarat menyindir pihak yang berada di dalam parti sendiri.
"Kalau ada pertembungan dalam parti sendiri pun, biarlah selesai secara dalaman dan penuh ukhuwah, tak perlu goncang pokok yang rendang.
"Pokok yang menaungi rakyat dan berusaha memberikan 'teduhan' dan kemakmuran," jelasnya.
Pada Jumaat, Pergerakan Pemuda UMNO Alor Setar mengingatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar tidak terlalu selesa berada di jawatan berkenaan memandangkan ia diperoleh bukan melalui mandat rakyat atau secara "pintu belakang".
Ketuanya, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masyri menjelaskan nasib yang diterima Muhammad Sanusi amat baik apabila berlaku huru-hara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini selain kekalahan Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Ahmad Yahaya di Dewan Undangan (DUN) Negeri Alor Mengkudu, menyebabkan ADUN Jeneri itu dilantik sebagai Menteri Besar mengikut hierarki parti.
Terdahulu, Sanusi secara berseloroh mempersoalkan pihak yang sering mendesak untuk PRU15 diadakan lebih awal berhubung kemampuan mereka untuk memenangi pilihan raya akan datang.
Beliau juga mengulangi pendirian bahawa PRU15 wajar diadakan selepas tamat penggal kali ini iaitu selepas bulan Mei tahun hadapan.
Tambah ADUN Jeneri itu, keputusan kerajaan negeri Kedah juga kekal seperti negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk tidak membubarkan DUN sehingga tamat penggal ini.
#Afnan Hamimi Taib Azamudden #Muhammad Sanusi Md Nor #ismail sabri yaakob #Saarani Mohamad
;