Guan Eng ucap 'terima kasih' kepada ahli DAP Melaka yang keluar parti

Harits Asyraf Hasnan
Mac 13, 2017 09:11 MYT
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hanya mengucapkan terima kasih kepada 182 ahli DAP Melaka yang membuat keputusan keluar parti semalam. - Gambar fail
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sekadar mengucapkan terima kasih kepada 182 ahli DAP Melaka yang membuat keputusan untuk keluar dari parti itu semalam.
Guan Eng pada masa yang sama meragui jumlah tersebut kerana beliau hanya melihat lebih kurang 20 ahli DAP sahaja yang terdapat di dalam gambar tersebut.
"Saya lihat dalam gambar 20 lebih tetapi ada yang melaporkan sampai 180 lebih.
"Tak apalah, yang penting kita hargai semua ahli-ahli DAP.
"Saya hanya hendak cakap terima kasih atas semangat yang telah mereka berikan selama ini," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut tidak menolak dakwaan kemungkinan mereka keluar dari parti kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti yang lalu.
"Kita rasa mereka hampa kerana kalah dalam pilihan raya parti. Saya harap kalau boleh teruslah berada dalam DAP supaya mana tahu pilihan raya akan datang mereka boleh menang.
"Lagipun menang dan kalah itu biasa," ujarnya.
Semalam dilaporkan seramai 182 anggota akar umbi DAP yang diketuai tujuh bekas anggota Jawatankuasa DAP Negeri Melaka, keluar parti kerana kecewa dengan parti itu.
Antara lain mereka berkata, parti itu telah menyimpang daripada prinsip "Malaysian Malaysia".
#DAP Melaka #Lim Guan Eng #Setiausaha Agung DAP