'Guan Eng, letaklah jawatan kalau benar-benar telus' - Ibdilillah
Wan Syamsul Amly
Jun 30, 2016 07:13 MYT
Jun 30, 2016 07:13 MYT
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng digesa untuk meletakkan jawatannya dalam kadar segera untuk membuktikannya benar-benar menjunjung politik yang bersih, telus dan beramanah.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, keengganan Guan Eng membuktikan DAP yang kononnya selama ini memperjuangkan pentadbiran kerajaan yang cekap, berakauntabiliti lagi telus hanya omong kosong semata-mata.
"Saya fikir keputusan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang bersetuju untuk mengekalkan Guan Eng sebagai Ketua Menteri adalah amat memalukan.
"Ini jelas mempamerkan sifat hipokrasi yang luar biasa sebuah parti yang kononnya memperjuangkan pentadbiran kerajaan yang cekap, berakauntabiliti lagi telus.
"Saya sudah menjangkakan teriakan 'konspirasi politik' akan dilaungkan Guan Eng demi menagih simpati rakyat untuk terus berkuasa sebagai Ketua Menteri," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.
Pada Khamis, Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang memutuskan bahawa tiada keperluan untuk Guan Eng meletak jawatan atau mengambil cuti daripada tanggungjawab sebagai ketua Menteri Pulau Pinang susulan dua pertuduhan rasuah ke atasnya.
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata, pendirian sebulat suara dibuat oleh kepimpinan DAP Pulau Pinang selepas meluluskan usul itu dalam mesyuarat tergempar mereka.
Dalam pada itu tegas Ibdilillah, alasan Guan Eng yang mengatakan pendakwaan terhadapnya merupakan konspirasi politik yang dirancang Kerajaan Pusat untuk menamatkan karier politiknya tidak boleh diterima akal.
"Inilah skrip yang sering dipakai berulang kali apabila pimpinan parti Pakatan Harapan didakwa di Mahkamah. DAP merupakan contoh terbaik sebuah parti yang mengamalkan sikap hipokrasi dalam berpolitik.
"Jikalau yang didakwa di mahkamah merupakan pimpinan parti Barisan Nasional, merekalah yang pertama akan menggesa supaya pemimpin tersebut meletak jawatan, tetapi apabila pemimpin mereka didakwa, mereka pilih untuk bersikap hipokrit. Inilah sikap DAP dari awal penubuhannya," jelasnya.
Pada Khamis, Guan Eng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
Turut didakwa bekas pemilik banglo, Phang Li Koon, yang juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan rumah itu di tempat dan tarikh sama.