Guan Eng ingatkan Azmin jangan campur urusan negeri Pulau Pinang

Astro Awani
Februari 22, 2016 17:35 MYT
GUAN ENG: Azmin mungkin tidak faham apa yang sebenarnya berlaku.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengingatkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar jangan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri itu berhubung pengguguran dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat dari syarikat dan agensi berkaitan (GLC) kerajaan negeri baru-baru ini.
Guan Eng mengingatkan Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR bahawa prinsip tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri masing-masing telah diamalkan mereka sejak tahun 2008 oleh gabungan pembangkang yang dikenali dengan nama Pakatan Rakyat ketika itu.
Setiausaha Agung DAP itu juga mempersoalkan tindakan Mohamed Azmin membuat kenyataan yang mencampuri urusan negeri Pulau Pinang secara terbuka sedangkan sebelum ini semua isu berbangkit dibincangkan secara tertutup atas semangat kerjasama gabungan Pakatan Harapan.
“Saya berasa hairan sikit tentang kenyataan yang dibuat oleh MB Selangor, kerana selama ini sebagai MB dan Ketua Menteri, kami tidak campur tangan dalam urusan negeri lain dan amalan ini telah kekal.
"Ini kali pertama beliau berminat tentang satu perkara yang bukan dalam negeri dia dan saya rasa beliau mungkin tidak faham apa yang sebenarnya berlaku,” kata Guan Eng.
Mohamed Azmin pada Isnin mempersoalkan tindakan pentadbiran DAP Pulau Pinang yang menggugurkan dua ADUN PKR, Ong Chin Wen (Bukit Tengah) dan Cheah Kah Peng (Kebun Bunga) daripada jawatan mereka dalam GLC.
Mohamed Azmin berkata kepada The Star semalam bahawa Biro Politik PKR Pusat telah mencapai keputusan dua minggu lalu untuk menghatar surat rasmi kepada kerajaan negeri dan Guan Eng bagi menyatakan pendirian parti.
Beliau dilaporkan sebagai berkata, Guan Eng tidak sepatutnya berbuat demikian kerana dua ADUN PKR itu hanya mereka memilih untuk mengambil pendirian berbeza dengan kerajaan negeri berhubung isu tambakan laut di Pulau Pinang pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri itu hujung tahun lalu.
#jangan campur urusan negeri #Lim Guan Eng #Mohamed Azmin Ali #urusan kerajaan negeri
;