Guan Eng gesa sidang khas DUN Pulau Pinang diadakan hujung September

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 30, 2022 12:36 MYT
Kata Guan Eng, sidang khas membolehkan perlembagaan negeri Pulau Pinang berhubung undang-undang antilompat parti diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan. - BERNAMA
GEORGE TOWN: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa supaya Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang diadakan pada penghujung September ini.
Ia bagi membolehkan perlembagaan negeri Pulau Pinang berhubung undang-undang antilompat parti diselaraskan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, memandangkan Pulau Pinang sebelum ini telah meluluskan undang-undang antilompat parti seperti di Sabah, justeru sidang khas tersebut perlu diadakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Sidang khas seumpama itu sepatutnya diadakan pada penghujung September apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan dijangka diwartakan pada masa itu.
“Perlembagaan Persekutuan tidak menganggap wakil rakyat yang dipecat sebagai ahli parti sebagai lompat parti, manakala Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sebaliknya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengambil contoh Sabah, Guan Eng berkata, walaupun mempunyai undang-undang antilompat parti sendiri, namun Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri Sabah dalam masa terdekat bagi meminda perlembagaan berkaitan antilompat parti.
Menurut Hajiji, langkah itu sejajar komitmen kerajaan negeri untuk mewujudkan kestabilan politik di Sabah setelah sekian lama berdepan keadaan politik tidak menentu.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, dengan mengadakan sidang khas DUN Pulau Pinang pada akhir September juga akan membolehkan peruntukan antilompat parti bagi Pulau Pinang berkuat kuasa tepat pada masanya ke atas semua ADUN yang dipilih pada pilihan raya umum ke-15 kelak.
“Pilihan Raya Umum ke-15 dijangka diadakan pada November berikutan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membentangkan Belanjawan 2023 lebih awal tiga minggu iaitu pada 7 Oktober, selepas menerima tekanan UMNO untuk mengadakan pilihan raya awal pada tahun ini dan bukannya tahun depan.
“Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan semalam bahawa Perdana Menteri telah "memberi komitmen" bahawa pilihan raya umum akan datang tidak akan diadakan pada 2023, dan mungkin diadakan sebelum Disember 2022,” ujar Guan Eng.
Justeru, bagi memastikan mandat pengundi dihormati dan tidak diselewengkan atau dikhianati oleh ahli politik dengan melompat parti, adalah mustahak DUN Pulau Pinang bersidang sebelum pilihan raya umum akan datang.
#sidang dun #pulau pinang #Lim Guan Eng #Antilompat parti
;