Guan Eng dan DAP diminta hentikan taktik ugut pihak kritik mereka
Bernama
April 18, 2017 19:22 MYT
April 18, 2017 19:22 MYT
Gerakan hari ini mengingatkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan DAP agar menghentikan taktik ugutan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak media dan mana-mana individu yang mempersoal tindakan mereka.
Setiausaha Agungnya Datuk Liang Teck Meng berkata Lim dan pemimpin DAP sepatutnya memberi penjelasan mengenai kelemahan yang dibangkitkan dan bukannya mengugut mengambil tindakan terhadap media dan individu yang mengkritik mereka.
"Ini satu amalan tidak sihat yang harus diberhentikan segera. Taktik sebegini tidak akan berhasil ke atas saya dan saya tidak takut," katanya pemberita di Menara PGRM hari ini.
Liang berkata demikian berikutan tindakan Lim mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 16 Feb terhadap beliau serta sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang menyiarkan kenyataan Liang pada Oktober tahun lepas yang telah meminta Penang Institute memberikan fakta mengenai kemerosotan prestasi kerajaan negeri itu.
Pada Januari lepas, Liang juga mempertikai dakwaan Lim bahawa lebihan bajet kerajaan negeri itu sejak 2008 bukan disebabkan oleh jualan tanah.
Katanya, kerajaan Pulau Pinang bukan sahaja gagal menyangkal kenyataan beliau dalam isu tersebut, malah Lim dalam satu kenyataan rasmi juga telah memanggil Liang "tidak pintar" dan "gagal memahami akaun".
Susulan itu, Liang pada 24 Feb lepas telah menghantar satu notis guaman kepada Lim untuk meminta beliau memohon maaf dan menarik balik kenyataannya itu.
"Saya tetap pada apa yang dikatakan dalam sidang akhbar (pada Oktober 2016 dan Januari 2017) saya kerana ia adalah berdasarkan kepada fakta.
"Tidak seperti Lim, sebelum saya menjadi Ahli Parlimen, saya adalah seorang jurutera, seorang usahawan dan seorang pengarah syarikat yang mempunyai pengetahuan akaun," katanya.
Liang berkata media juga tidak harus gentar untuk terus mendedahkan kelemahan kerajaan Pulau Pinang dan Gerakan bersedia menawarkan bantuan guaman kepada mana-mana organisasi media yang diugut DAP. -- Bernama