Guan Eng dakwa Abdul Hadi tikam Pakatan Rakyat dari belakang

Astro Awani
Mei 24, 2015 21:45 MYT
Lim berkata, pemimpin-pemimpin PAS termasuk Mahfuz Omar tidak boleh menutup mata tentang hasrat parti itu yang mahu bergabung dengan UMNO. - Foto Astro AWANI
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menuduh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menikam Pakatan Rakyat dari belakang pada pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh baru-baru ini.
Katanya, selain tidak menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon PRK Permatang Pauh, Abdul Hadi juga langsung tidak hadir ke Permatang Pauh bermula hari penamaan calon sehingga tiba hari pengundian.
Menurut Lim, itu tidak sepatutnya berlaku dan jelas menunjukkan Abdul Hadi tidak komited terhadap dasar bersama pakatan pembangkang.
“Kita tidak kacau PAS... kita hanya jawab bila PAS kacau kita dan bila PAS putar belitkan apa yang sebenarnya berlaku, saya rasa bahawa pemimpin-pemimpin PAS tidak kira Mahfuz atau mereka yang hendak sokong sama Hadi itu hak mereka, tetapi janganlah tutup mata ke atas hasrat PAS untuk menubuhkan kerajaan gabungan dengan UMNO itu amat nyata sekali.
“Dan PRK Permatang Pauh presiden mereka tidak hadir langsung itu tidak apa lah mungkin dia sibuk sangat... ada tugas lebih penting, tetapi bila ditanya samada sokong Kak Wan sebagai calon PR dekat Permatang Pauh keengganan beliau untuk sokong Kak Wan saya rasa adalah sesuatu yang boleh dianggap tikam belakang dan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Lim mengulas tentang desas desus yang mengatakan PAS mahu bergabung dengan UMNO bagi mewujudkan kerajaan perpaduan.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi turut menyelar Abdul Hadi dengan menyifatkannya beliau sebagai perosak kerjasama antara DAP, PKR dan PAS.
Lim berkata, pemimpin-pemimpin PAS termasuk Mahfuz Omar tidak boleh menutup mata tentang hasrat parti itu yang mahu bergabung dengan UMNO.
“Jadi saya rasa itulah kalau nak sertai UMNO Barisan Nasional, pergilah tetapi jangan cari alasan dengan menghentam DAP supaya dapat membuka jalan untuk masuk UMNO... saya rasa ini budak-budak pun boleh tau apakah muslihat sebenar serangan macam ini ke atas DAP, saya melihat dia tidak membuat serangan sedemikian terhadap UMNO,” katanya.
Lim berkata demikian dalam sidang media selepas majlis kempen derma darah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Bendera pada Ahad.
#Abdul Hadi Awang #DAP #Lim Guan Eng #PAS #Permatang Pauh #PKR
;