GTA tanding dua kerusi Parlimen, enam kerusi DUN Perlis

Bernama
November 4, 2022 20:59 MYT
Meskipun GTA tidak bertanding di kesemua kerusi di Perlis namun tumpuan diberikan untuk memenangi kerusi di peringkat Parlimen.
KANGAR: Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di dua kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi GTA Perlis Tajul Haslam Tajudin berkata kerusi Parlimen yang akan ditandingi ialah Kangar dan Arau manakala DUN ialah Titi Tinggi, Bintong, Sena, Tambun Tulang, Guar Sanji serta Simpang Empat.
Beliau berkata calon GTA terdiri antaranya daripada bekas kakitangan kerajaan, tentera, pegawai bank dan usahawan.
"Meskipun GTA tidak bertanding di kesemua kerusi di Perlis namun tumpuan diberikan untuk memenangi kerusi di peringkat Parlimen," katanya pada majlis memperkenal barisan calon gabungan itu yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN serta penyerahan watikah di Pejabat Pejuang Perlis di sini semalam.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon bagi PRU15 manakala 19 Nov sebagai hari pengundian dan 15 Nov bagi pengundian awal.
Berikut adalah senarai calon Parlimen dan DUN di Perlis:
P002 Kangar - Nur Sulaiman Zolkapli
P003 Arau - Datuk Abdul Razak Abdul Khalek
N01 Titi Tinggi - Mohd Shahril Md Sarif
N06 Bintong - Shazwan Suban
N07 Sena - Mohd Faizal Yunus
N12 Tambun Tulang - Maton Din
N13 Guar Sanji - Abdul Malik Abdullah
N14 Simpang Empat - Izhar Kamarudin Sudin
-- BERNAMA
#PRU15 #Parlimen #Perlis #GTA