GTA-Pejuang tidak rasis, tidak bermusuh dengan bukan Melayu - Tun Mahathir
Bernama
Oktober 30, 2022 13:45 MYT
Oktober 30, 2022 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan meskipun GTA-Pejuang gerakan orang Melayu namun ia tidak rasis dan bermusuh dengan bukan Melayu.
Justeru kata bekas Perdana Menteri itu, kaum bukan Melayu tidak perlu takut kerana Melayu GTA akan memberi tempat kepada kaum lain dalam pemerintahan.
"Ingatlah sejak merdeka Malaysia diperintah oleh kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu. Tetapi di masa merdekalah orang bukan Melayu maju sehingga tertinggal orang Melayu di belakang," katanya menerusi Facebook beliau hari ini.
Menurut Dr Mahathir walaupun usaha dibuat untuk kurangkan jarak antara Melayu dengan kaum lain, hak dan kemajuan perniagaan dan perusahaan orang bukan Melayu tidak terhalang.
"Melayu GTA akan junjung tinggi keluhuran undang-undang dan pemisahan kuasa antara legislative (perundangan), executive (pentadbiran atau eksekutif) dan judiciary (kehakiman)," katanya.
Pada 27 Okt lepas, Dr Mahathir mengumumkan lapan calon parti Pejuang untuk bertanding di kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Antaranya Dr Mahathir sendiri akan mempertahankan kerusi Langkawi manakala dua penyandang kerusi Parlimen iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Amiruddin Hamzah, masing-masing akan bertanding di Jerlun dan Kubang Pasu, Kedah.
-- BERNAMA